MUAR – Bomba Johor kesal dengan tindakan pempengaruh, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, dan adik lelakinya membuat laporan polis palsu yang disifatkan memperlekeh dan memperalatkan pihak berkuasa.
Ketua Zon 4, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Norshuhada Amsari berkata, perbuatan itu amat tidak bertanggungjawab jawab, selain menyebabkan kerugian masa serta kos operasi mencari dan menyelamat (SAR)
Norshuhada menjelaskan, operasi SAR itu juga amat berbahaya dan berisiko kepada pasukan keselamatan terutama pihak bomba yang melibatkan pasukan khas.
“Lebih 10 kali anggota PPDA (Pasukan Penyelamat di Air) bomba menyelam dalam sungai berlumpur serta pencarian menyusuri sungai dengan dasarnya yang tidak stabil dan berbukit.
“Begitu juga pencarian sibkawasan kebun getah dan ladang kelapa sawit. Tugas ini amat berisiko tinggi dan secara tidak langsung mengancam nyawa pasukan kerana menyelam dalam keadaan penglihatan terhad serta hampir gelap”.
Demikian kenyataan impak yang dibaca Norshuhada ketika prosiding pertuduhan terhadap Tengku Nizaruddin atau dikenali sebagai Ija dan adiknya, Tengku Abdul Aziz, 30, di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Kenyataan itu dibaca selepas Majistret Suzana Mokhtar memberi kebenaran kepada Norshuhada yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat susulan laporan kehilangan Ija di Sungai Tui, Bukit Kepong, pada 14 Julai lalu.
Kenyataan impak sebanyak tiga muka surat antara lain meluahkan kekesalan terhadap tindakan dibuat oleh dua beradik itu yang memberi maklumat palsu sehingga menjejaskan anggota dan pegawai JBPM menjalankan tugas lain.
Norshuhada berkata, sebagai Komander Operasi dalam kerja-kerja SAR itu, pihaknya menjalankan tugas mengesan mangsa dengan penuh komitmen.
“Saya dan pasukan menjalankan tugas dengan penuh komitmen dan kesungguhan yang tinggi tanpa mengetahui maklumat yang diberikan adalah palsu.
“Selain risiko nyawa, penggunaan aset kerajaan seperti bot penyelamat, jentera operasi, kenderaan utiliti, peralatan menyelam, dron serta komunikasi taktikal digunakan sepenuhnya semasa operasi ini.
“Kos logistik kebajikan pasukan penyelamat serta kos bahan api yang digunakan turut menjadi kesan langsung yang dikira sebagai satu kerugian kepada kerajaan khasnya,” katanya.
Katanya, lebih mengecewakan laporan palsu adik Ija menyebabkan anggota JBPM tidak dapat menggunakan kekuatan sepenuhnya ketika operasi khidmat khas mencari mangsa terjatuh dari jambatan Sungai Gersik, pada 17 Julai lalu.
“Kami amat kecewa kerana terpaksa membuat pembatalan keanggotaan untuk tugas yang lebih penting demi menyelamatkan mangsa yang berkemungkinan tidak wujud.
“Tindakan ini juga menjejaskan moral pasukan saya, apabila usaha dan komitmen tinggi dilaksanakan, kami diperalatkan untuk tujuan tidak berfaedah ini.
“Secara tidak langsung, ia turut menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan masyarakat terhadap agensi penyelamat seperti kami.
“Justeru kami berharap agar tindakan tegas dapat diambil terhadap individu yang membuat laporan palsu serta dapat dijadikan pengajaran supaya tidak mengulanginya lagi,” katanya.
Terdahulu, Ija dan Tengku Aziz masing-masing dipenjara sebulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan. – MalaysiaGazette
















