PUTRAJAYA – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) telah mengusulkan cadangan kesalahan ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kes Pulau Batu Puteh apabila jelas melakukan pengkhianatan kepada negara dalam kes itu.
Perdana Menteri berkata, Kabinet bagaimanapun membuat keputusan tidak mendakwa bekas Ahli Parlimen Langkawi itu dengan mengambil kira pertimbangan keadaan dan faktor usianya.
Namun katanya, tindakan pembangkang yang mengemukakan usul untuk merujuk beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kenyataan dalam kes Pulau Batu Puteh itu sebelum ini adalah satu proses yang dibenarkan.
“Tidak apa dia (pembangkang) ikut proses, dia tak baca lagi laporan Suruhanjaya Diraja dan pasukan petugas khas yang mengusulkan laporan dibuat ke atas Tun Mahathir kerana pengkhianatan kepada negara dan tindakan susulan diambil.
“Saya tidak melangkau keputusan Peguam Negara dan Kabinet melihat kesalahan itu besar tetapi melihat kepada suasana dan keadaan Tun M dan Kabinet mengusul tidak bawa ke tengah dan tiada keputusan mendakwa.
“Dan memerlukan siasatan polis dan siasatan Suruhanjaya Diraja serta pasukan petugas khas mengusulkan dengan jelas yang meletak kesalahan dan gesa (tindakan) namun keadaan (Tun Mahathir begitu rupa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui media selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 Tahun 2025 di Dewan Plenari, Pusat Konvenseyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Anwar diminta mengulas tindakan pembangkang yang mengemukakan usul untuk merujuk Perdana Menteri kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, kelmarin.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia susulan kenyataan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berhubung isu tindakan undang-undang terhadap bekas Tun Dr Mahathir dalam kes Pulau Batu Puteh.
Menurutnya, usul tersebut dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12) atas dakwaan Perdana Menteri telah mengelirukan Dewan Rakyat berhubung status Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) membabitkan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu.
“Kuasa siapa untuk menuduh dan mendakwa seseorang? Adakah kuasa Perdana Menteri?
“Adakah ini satu pengesahan daripada Perdana Menteri bahawa beliau campur tangan dalam urusan perundangan?” soalnya ketika sidang media di Parlimen.
Selasa lalu, Anwar memaklumkan, kerajaan memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Mahathir berhubung isu Pulau Batu Puteh atas faktor usia beliau yang sudah lanjut.
Beliau bagaimanapun berkata, Kabinet tetap berpendirian bahawa Dr Mahathir bersalah kerana keputusan beliau sebagai Perdana Menteri pada 2018 yang melepaskan pulau berkenaan dengan begitu mudah.
Susulan itu, Dr Mahathir menerusi hantaran di media sosial secara sinis menegaskan bahawa beliau tidak memerlukan sebarang imuniti, termasuk faktor usia, sekiranya kerajaan menuduh beliau bersalah. – MalaysiaGazette


















spa lagi lucutkan lah gelaran Tun kerana khianat pada negars. YDPA baginda tuanku sangag tegas