KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berharap semua pihak sama ada Kementerian Pendidikan (KPM); agensi dan institusi pendidikan dapat mengikuti jejak langkah Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam mengendalikan kes buli.
Tegas beliau, aspek kebenaran dan keadilan merupakan intipati penting dalam sektor pendidikan.
“Jika pihak yang diharapkan untuk memperjuangkan pendidikan tidak menegakkan keadilan dan memilih bulu… siapa lagi yang hendak kita harapkan?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menerusi hantaran sama, Maszlee turut menyertakan tanda pagar #JusticeForZara, merujuk kepada satu kejadian yang dikaitkan dengan kejadian buli terhadap seorang pelajar di Sabah.
Terdahulu, Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan seramai enam pelajar Tingkatan Lima di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Melaka digantung dan dicadangkan dibuang selepas didakwa terlibat dalam kejadian buli.
Bagaimanapun, dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebooknya itu hari ini, Asyraf Wajdi tidak menyatakan kes buli yang dimaksudkan dan MRSM yang terlibat.
Dalam kes berasingan, pengguna media sosial khususnya di Sabah kini berkongsi secara meluas tanda pagar # JusticeForZara bagi menuntut keadilan terhadap kejadian yang menimpa pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Zara Qairina meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sebuah sekolah dalam kejadian minggu lalu, yang dikaitkan dengan kes buli. – MalaysiaGazette
















