BUTTERWORTH – Seorang pekerja penarik kereta direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes memukul seorang tukang gunting rambut di hadapan rumah teman wanitanya di Kampung Contoh, di sini, pada Rabu lalu.
Perintah reman sehingga 29 Julai itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Bukit Mertajam, Nurul Rasyidah Mohd Akit bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek berusia 19 tahun itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna oren tiba di pekarangan mahkamah dengan diiringi pihak polis jam 9.50 pagi.
MalaysiaGazette difahamkan, mangsa berusia 21 tahun itu dipukul kira-kira jam 9.30 malam ketika sedang menunggu teman wanitanya di luar rumah.
Mangsa didatangi suspek menaiki motosikal sebelum secara tiba-tiba menumbuk pipi kanannya menggunakan objek tumpul.
Difahamkan, punca kejadian disebabkan perselisihan faham antara suspek dan teman wanita mangsa di platform media sosial TikTok pada bulan lalu.
Suspek sebelum ini dikatakan pernah menghantar mesej berunsur penghinaan kepada teman wanita mangsa melalui mesej peribadi (DM) selepas wanita itu menyahblok akaunnya.
Dalam mesej tersebut, suspek didakwa menuduh wanita itu dengan perkataan tidak senonoh termasuk mendakwa wanita itu menjual diri kepada lelaki lain.
Mangsa kemudian menghantar mesej menegur tindakan suspek, namun hubungan antara mereka menjadi semakin tegang sebelum suspek terserempak dengan mangsa dan bertindak menyerangnya.
Mangsa menerima rawatan di Hospital Kepala Batas dan dirujuk ke klinik pakar pergigian susulan disahkan mengalami kesan lekuk pada pipi kanan akibat hentakan objek tumpul. – MalaysiaGazette
















