Hugo Ekitike. Foto BBC.

LONDON – Liverpool melengkapkan pembelian penyerang, Hugo Ekitike dari Eintracht Frankfurt dengan yuran dilaporkan berjumlah £69 juta pound (RM396 juta) bagi menghadapi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim baharu.

Pemain berusia 23 tahun itu berjaya melepasi ujian perubatan dan bersetuju dengan syarat peribadi bersama The Reds yang membolehkannya terbang ke Hong Kong untuk menyertai rakan sepasukan baharunya pada jelajah pramusim di Asia hujung minggu ini.

Perpindahan bekas pemain antarabangsa B-21 Perancis itu ke Anfield menyaksikan jumlah perbelanjaan Liverpool pada musim panas ini melebihi £250 juta (RM1.4 bilion).

Setakat ini, Liverpool sudah berbelanja bagi mendapatkan pemain tengah Jerman, Florian Wirtz, selain membawa masuk dua pertahanan, Jeremie Frimpong dan Milos Kerkez dari Bayer Leverkusen dan Bournemouth.

Liverpool menukar tumpuan kepada Ekitike selepas Newcastle enggan melepaskan penyerang Sweden, Alexander Isak, yang dinilai sekitar £150 juta (RM937 juta) oleh kelab berkenaan.

Musim lalu, Ekitike menjaringkan 22 gol dalam 48 perlawanan semua kejohanan bersama Frankfurt selepas menyertai kelab Bundesliga itu dari Paris Saint-Germain (PSG).

Aksinya turut melayakkan dia disenaraikan dalam ‘Kesebelasan Terbaik Bundesliga’ musim lalu apabila Frankfurt menamatkan saingan di tangga ketiga liga utama Jerman itu.

Liverpool kini memiliki kekosongan di bahagian serangan selepas kematian mengejut Diogo Jota dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol baru-baru ini. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast