Farhash diraikan oleh beberapa kenalan dipercayai dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) di pekarangan dewan.

GEORGE TOWN – Bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, menerima penganugerahan Darjah Panglima Pangkuan Negeri (D.P.P.N.) yang membawa gelaran Datuk Seri dalam satu istiadat rasmi di sini, hari ini.

Penganugerahan itu disampaikan sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-84 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Ramli Ngah Talib di Dewan Sri Pinang.

Farhash dilihat berada dalam keadaan ceria selepas majlis penganugerahan dan diraikan oleh beberapa kenalan dipercayai dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) di pekarangan dewan.

Bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak memberi sebarang komen kepada media dan segera beredar masuk ke dalam dewan sebaik menyedari kehadiran petugas media.

Nama Farhash menjadi tumpuan susulan gesaan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan melibatkan kelulusan lesen cari gali arang batu seluas 70,000 hektar di Sabah yang dikaitkan dengan sebuah syarikat melibatkan dirinya.

Menurut Rafizi, maklumat yang tular dalam media sosial menunjukkan asas yang cukup untuk siasatan dijalankan bagi memastikan ketelusan dan mengelakkan persepsi negatif terhadap kerajaan.

Katanya, pendedahan yang dibuat perlu ditangani secara serius bagi memastikan usaha pencegahan rasuah tidak dipandang remeh serta tidak menjejaskan kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast