PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU, Amerika Syarikat – Kemboja mahu gencatan senjata dengan Thailand dilaksanakan segera, kata envoi negara itu ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) selepas jirannya berbalas serangan berdarah pada hari kedua pertempuran, dengan Bangkok turut memberi isyarat ia terbuka kepada rundingan.
Pertikaian sempadan yang berpanjang mencetuskan pertempuran sengit dengan menggunakan jet pejuang, kereta kebal dan tentera darat semalam, menyaksikan Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar berhubung krisis tersebut.
“Kemboja meminta gencatan senjata dilakukan segera – tanpa syarat – dan kami juga meminta penyelesaian keamanan terhadap pertikaian ini,” kata Duta Kemboja ke PBB, Chhea Keo selepas mesyuasat tertutup Majlis Keselamatan yang dihadiri kedua-dua negara.
Serangan artileri boleh didengari dari sempadan Kemboja, dengan seorang lelaki berusia 70 tahun dilaporkan maut di wilayah Oddar Meanchey dan lima lagi cedera.
Lebih 138,000 telah dipindahkan dari kawasan sempadan Thailand, kata Kementerian Kesihatannya yang melaporkan 15 kematian dan daripada jumlah tersebut 14 adalah orang awam dan seorang anggota tentera selain 46 lagi cedera, termasuk 15 anggota tentera.
Pertempuran berlanjutan di tiga kawasan kira-kira jam 4 pagi semalam dengan tentera Thailand berkata, tentera Kemboja melepas tembakan senjata berat, artileri darat dan sistem roket BM-21 menyebabkan mereka bertindak balas ‘dengan tembakan sokongan yang wajar’.
Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura memberitahu AFP bahawa pertempuran reda pada tengah hari semalam, bagaimanapun menambah, Bangkok terbuka untuk rundingan, berkemungkinan dibantu Malaysia.
“Kami telah bersedia, jika Kemboja mahu menyelesaikan perkara ini menerusi saluran diplomatik, dua hala, atau menerusi Malaysia, kami sedia melakukannya.
“Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang maklum balas,” kata Nikorndej kepada AFP sebelum menyuasarrat PBB diadakan.
Kini Malaysia memegang Pengerusian ASEAN dengan Thailand dan Kemboja adalah anggota blok serantau itu.
Terdahulu, Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai memberi amaran jika situasi bertambah buruk ‘ia boleh menyebabkan peperangan’.
“Ketika ini, ia kekal terhad kepada pertempuran,” katanya kepada pemberita di Bangkok. – AFP
















