SHAH ALAM – Bayangkan anda melangkah ke sebuah rumah gelap. Muzik gamelan berkumandang sayup, bulu roma meremang dan entah dari mana datangnya bisikan yang seolah-olah memanggil nama anda.
Ini bukan babak dalam filem tapi inilah Paranormal: Jalan Jalan Cari Hantu iaitu sebuah acara yang membawa peminat masuk ke dalam dunia seram hasil penulisan A. Darwisy dan menghidupkan kisah-kisah ngeri yang sebelum ini hanya dibaca di atas kertas.
Berbeza daripada acara buku konvensional, program itu bukan sekadar sesi tandatangan atau jualan buku sebaliknya memberi peluang kepada peserta untuk benar-benar merasai aura misteri dan elemen supernatural yang sering menghiasi karya Darwisy.
Antara aktiviti yang berlangsung termasuk Ice Breaking, Dare Challenge, Menjejak Hantu di Rumah Hantu serta Misi Seramrace.

“Biasanya kita hanya jumpa sekejap dengan pembaca tapi kali ini mereka alami sendiri ‘alam’ dalam buku saya,” kata Darwisy yang mula dikenali melalui novel-novel seperti Jangan Biar Dia Masuk, Kala Senja Dia Datang dan Ngauman Cindaku.
Antara peserta yang berkongsi pengalaman seramnya ialah Noor Emmi Nadi Harizan, 41, dari Kedah dan kini menetap di Banting, Selangor.
“Saya memang sudah lama minat A. Darwisy tapi ini kali pertama saya sertai acaranya. Sebelum ini tak berpeluang sebab kekangan kerja,” katanya.

Menurut Noor Emmi, minatnya terhadap genre seram muncul apabila dia sendiri sering mengalami pengalaman mistik sejak kecil.
“Dulu baca novel cinta rumah tangga, lama-lama jadi bosan. Bila baca karya A. Darwisy, saya rasa macam boleh relate. Macam dalam Ngauman Cindaku, saya pernah berdepan sendiri dengan individu yang ada Saka Harimau.
“Jadi bila baca, rasa macam kena dengan pengalaman sendiri,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini.

Lebih menarik, Emmi turut berkongsi bagaimana muzik gamelan dalam acara itu menghidupkan kembali ‘sensasi’ lama yang pernah dilaluinya.
“Bila dengar muzik gamelan masa dalam Rumah Hantu, saya terus rasa tak sedap. Macam ada sesuatu. Saya ni memang tak boleh dengar bunyi macam tu. Kalau tak lepas, benda tu ikut balik rumah,” jelasnya.
Sebagai langkah ‘melepaskan’ perasaan berat itu, Emmi mengambil palu dan mengetuk gong. Itu satu tindakan spontan yang katanya perlu dilakukan untuk ‘menamatkan’ gangguan.
“Kalau tak, saya rasa macam benda tu akan lekat. Bila sudah ketuk, baru rasa lega,” tambahnya yang juga bekerja di sebuah kedai alat muzik bersama suaminya.
Noor Emmi juga menyatakan gaya penulisan Darwisy cukup berbeza berbanding penulis lain.
“Dia ada gabung imbas balik zaman dulu dan sekarang. Dia tak tulis kosong tapi ada fakta dan kadang selit ayat al-Quran. Bila kita baca, rasa macam buku tu hidup,” katanya.
Sementara itu, menurut Darwisy atau nama sebenarnya Anuar Darwisy, proses menghasilkan karya seram bukan sekadar soal imaginasi.

Penulisan beliau turut melibatkan pengalaman dan suasana yang kadangkala berada di luar kawalan.
“Saya tak sedar bila tangan saya bergerak seperti menari bila dengar muzik gamelan tapi ibu saya nampak. Bila dia cerita, saya terdiam. Saya memang gunakan muzik tu untuk hayati watak tapi tak sangka sampai begitu,” katanya merujuk kepada saat-saat ketika beliau menulis Jangan Biar Dia Masuk.
Buku Jangan Biar Dia Masuk pernah mencetuskan fenomena di Pesta Buku Kuala Lumpur (PBKL) pada tahun 2015 apabila dalam masa seminggu sahaja, sebanyak 1,400 naskhah berjaya terjual. Pencapaian ini menjadikannya antara karya seram tempatan yang mendapat sambutan luar biasa daripada peminat sehingga kini.

Karya ini menjadi antara buku seram tempatan paling laris ketika itu dan masih lagi menjadi rujukan peminat genre mistik hingga kini.
Bagi Darwisy, pengalaman seperti itu bukan sahaja mengeratkan hubungan dengan pembaca tetapi mengangkat genre seram tempatan agar terus relevan dan dekat di hati peminat
“Setiap karya saya bukan sekadar fiksyen. Ia dibina daripada pengalaman sebenar dan kadangkala lebih seram daripada apa yang ditulis.
“Tapi saya percaya, pembaca bukan hanya mahu rasa takut tapi juga mahu faham asal usul dan makna di sebalik ketakutan itu. Paranormal: Jalan Jalan Cari Hantu membuktikan bagaimana sebuah karya boleh hidup di luar halaman buku dan menjadi pengalaman yang dikongsi bersama oleh pembaca yang setia dan berani,” katanya lagi.
Acara Paranormal: Jalan-Jalan Cari Hantu diadakan sempena Karnival Siang Malam yang berlangsung di Shah Alam di bawah anjuran Karangkraf baru-baru ini. – MalaysiaGazette
















