Timbalan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching

KULAI – Kementerian Komunikasi mengesan taktik baharu scammer yang mengambil kesempatan dengan pengumuman khas Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri.

Timbalan menterinya, Teo Nie Ching berkata, pihak scammer akan menghantar mesej hebahan atau pautan berkaitan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang kini disebarkan dalam media sosial.

Jelasnya, pautan tersebut adalah palsu dan penerima yang layak iaitu rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas tidak perlu mengisi borang secara atas talian.

“PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) umum bantuan RM100 SARA yang akan diberikan secara automatik, oleh itu semua perlu berhati-hati dan jangan klik mana-mana pautan yang dihantar pihak menyamar wakil kerajaan.

“Ini kerana pihak kami sudah mengesan terdapat scammer yang menggunakan ayat semak maklumat rasmi mengenai bantuan itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek pembinaan longkang konkrit bagi mengatasi masalah banjir kilat di Kampung Melayu Bukit Batu di sini hari ini.

Pada Rabu lalu, Anwar mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program SARA.

Beliau berkata, pemberian bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos itu, adalah ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup selain sebagai penghargaan kepada rakyat yang memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.

Nie Ching seterusnya berkata, penerima juga tidak perlu sekiranya kad pengenalan tidak dilengkapi dengan fungsi Touch n Go.

“Tidak perlu risau jika kad pengenalan tiada fungsi Touch n Go. Kad pengenalan hanya sebagai pengesahan sahaja,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast