N. Balasubramaniam 

KUALA LUMPUR – Himpunan Turun Anwar (HTA) bukan manifestasi kebencian peribadi tetapi satu isyarat tegas daripada rakyat Malaysia berbilang kaum terhadap kegagalan beliau sebagai Perdana Menteri dalam aspek ekonomi, keadilan sosial, dasar rakyat dan janji reformasi yang dikhianati.

Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), N. Balasubramaniam  berkata label ‘kebencian’ hanya digunakan apabila pemimpin gagal menjawab hujah rakyat dengan fakta.

“Hakikatnya, HTA ialah medan demokrasi ruang aman di mana rakyat menyuarakan bantahan secara sah, tertib dan bertamadun. Ia adalah tindak balas terhadap keangkuhan kuasa, bukan kerana kebencian tetapi kerana tanggungjawab moral rakyat yang semakin hilang kepercayaan terhadap kepimpinan negara,” katanya menerusi kenyataan.

Malah, katanya, ironinya Anwar yang sebelum ini menjuarai siri himpunan reformasi jalanan namun kini tidak boleh menerima realiti apabila rakyat menggunakan saluran yang sama untuk mendesak beliau turun.

“Dulu himpunan adalah suara rakyat. Kini, bila terkena batang hidung sendiri, himpunan pula dituduh menyemai kebencian,” tambahnya.

Mengulas lanjut Balasubramaniam berkata, kehadiran ribuan anak muda, badan buan kerajaan (NGO), aktivis dan rakyat biasa pada himpunan berkenaan baru-baru ini membuktikan gelombang kekecewaan yang sedang membuak.

“Rakyat marah bukan kerana mereka benci Anwar Ibrahim secara peribadi tetapi kerana mereka sudah hilang harapan terhadap kepimpinan yang hanya pandai beretorik tetapi gagal membela nasib rakyat terbanyak.

“Maka, seruan “Turun Anwar” bukanlah simbol kebencian tetapi suara rakyat yang mahu perubahan sebenar, bukan janji palsu dan sandiwara politik yang menipu harapan jutaan rakyat Malaysia,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast