PUTRAJAYA – Dua hakim mahkamah atasan yang baru dilantik, bertekad memikul tugas kehakiman tanpa rasa takut atau pilih kasih, meskipun mengakui akan berdepan dengan tekanan ketika mendengar kes.
Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais berkata, bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak terutama dalam negara berbilang kaum dan kepelbagaian agama.
“Namun begitu, saya berharap dapat menjalankan tugas tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Saya sedar tekanan yang datang, namun saya mendapat sokongan rakan-rakan hakim dan saya tahu saya boleh bergantung kepada mereka,” katanya.
Menyentuh misi pertamanya memegang jawatan itu, Abu Bakar berkata, beliau berhasrat menambah bilangan panel hakim Mahkamah Rayuan daripada lapan kepada 10 orang.
“Dengan lebih banyak panel, kami berharap lebih banyak kes dapat didengar dan diputuskan,” tambahnya.
Sementara itu, Datuk Azizah Nawawi mencatat sejarah sebagai wanita pertama yang dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.
Ketika meluahkan rasa syukur dengan pelantikan tersebut, anak kelahiran Sibu, Sarawak itu turut ditanya dengan tekanan yang dihadapinya ketika berhadapan dengan kes.
“Saya sentiasa bekerja di bawah tekanan. Sebelum ini, saya berkhidmat di Jabatan Peguam Negara, jadi saya sudah biasa bekerja dalam persekitaran tekanan tinggi. Ia adalah sebahagian daripada kehidupan,” katanya.

Kedua-dua ditemui wakil media selepas majlis angkat sumpah dan taat setia 22 hakim atasan di Istana Kehakiman hari ini.
Mendahului senarai, Abu Bakar diikuti Azizah manakala pada sebelah pagi, Ketua Hakim Negara ke-17, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di Istana Negara.
Pada majlis itu, seramai enam hakim Mahkamah Tinggi dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan, manakala 14 pesuruhjaya kehakiman disahkan sebagai hakim Mahkamah Tinggi.
Mereka ialah Hakim-Hakim Dr. Shahnaz Sulaiman, Datin Paduka Evrol Mariette Felix Michael Peters, Ong Chee Kwan, Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid, Leonard David Shim dan Nadzarin Wok Nordin.
Sementara itu, turut mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Dr. Choong Yeow Choy, Saiful Azian Mokhtar, Evawani Farisyta Mohamad dan Indra Nehru Savandiah.
Hakim lain ialah Sumathi Murugiah, Moses Susayan, Kan Weng Hin, Dr. Wendy Ooi Su Ghee, Mohd. Rosli Yusoff, Dr. Hazlina Hussain, Roszianayati Ahmad dan Mohamad Haldar Abdul Aziz, Maslinda @ Linda Mohd Ainal dan Datuk Faridz Gohim Abdullah. – MalaysiaGazette
















