Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Man hadir pada Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Tinggi di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 28 JULAI 2025.

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yakin bahawa hakim yang mendengar kes telah membuat keputusan secara bebas tanpa pengaruh luaran atau dalaman.

Beliau yang baru bersara awal bulan ini berkata, sepanjang enam tahun lalu, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan 19 kes melibatkan undang-undang Perlembagaan yang mana lima daripadanya, beliau mencapai keputusan menentang.

“Itu sahaja sudah menunjukkan bahawa hakim membuat keputusan secara bebas, tanpa rasa takut atau pilih kasih dan pastinya tanpa tekanan dalaman atau luaran.

“Jika saya mempunyai pengaruh terhadap keputusan mereka, sudah tentu saya tidak akan menentang dalam lima daripada 19 kes tersebut,” tambahnya.

Tun Tengku Maimun menyatakan demikian ketika ditemui wakil media selepas majlis angkat sumpah dan taat setia 22 hakim mahkamah atasan di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Beliau ditanya berhubung pendedahan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli yang mengaku berhadapan dengan tekanan dalaman ketika memutuskan satu kes perlembagaan berprofil tinggi pada 2021.

Kelmarin, media melaporkan pendedahan Abdul Rahman mengenai tekanan itu ketika menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan sehingga hampir menggugat kebebasan penghakiman yang diputuskannya.

Beliau mengimbau peristiwa tersebut ketika berucap pada majlis perpisahan sempena persaraannya di hadapan rakan hakim, pegawai mahkamah dan tetamu kehormat di Kuching, Rabu lalu.

Sementara itu, Abdul Rahman ketika ditemui selepas majlis angkat sumpah itu menegaskan beliau tidak khuatir akan dikenakan tindakan kerana mendedahkan tekanan dalaman yang dihadapinya ketika memutuskan kes tersebut.

Beliau yang bersara Khamis lalu tetap berpegang pada pendirian yang terkandung dalam ucapan yang disampaikan pada majlis perpisahan sempena persaraan, sehari sebelumnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast