KULIM – Sebuah kilang sarung tangan getah di sini diarahkan menghentikan operasi serta-merta oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah selepas didapati melepaskan air sisa berbuih ke dalam longkang awam.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan itu susulan aduan orang awam yang diterima semalam sebelum pasukan penyiasat JAS digerakkan ke lokasi yang diadu pada hari sama.
Hasil siasatan mendapati kilang berkenaan dikesan membuang air berbuih terus ke longkang awam, yang bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah berpotensi mengancam ekosistem air dan kesihatan orang ramai.
Susulan itu, JAS Kedah telah melaksanakan penahanan operasi kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, sebagai langkah segera untuk menghentikan aktiviti pencemaran tersebut.
“Satu kertas siasatan turut dibuka di bawah Seksyen 25 akta sama (Pindaan 2024). Jika sabit kesalahan, kilang terbabit boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM10 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihaknya memandang serius kes berkenaan dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk pencemaran.
“Kami amat menghargai laporan orang awam dalam hal ini dan berjanji akan terus memantau situasi dengan rapi,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan pencemaran alam sekitar boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melaporkannya melalui sistem e-aduan di eaduan.doe.gov.my. – MalaysiaGazette
















