KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Muar 1 yang menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,500 ke atas seorang pempengaruh permotoran, Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin dan adiknya, Tengku Abdul Aziz pada 25 Julai lalu atas kesalahan membuat laporan palsu.
Jabatan Peguam Negara berkata, ini kerana Seksyen 182 Kanun Keseksaan memperuntukan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai enam bulan atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau dengan kedua-duanya sekali.
“Setelah meneliti dan mempertimbangkan keputusan Mahkamah Majistret Muar 1 tersebut, Jabatan ini telah memfailkan Notis Rayuan pada hari ini bagi merayu terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atas kedua-dua pesalah tersebut,” Katanya menerusi kenyataan.
Pada 25 Julai lalu, Tengku Nizaruddin atau dikenali sebagai Ija dan adiknya dipenjara sebulan dan denda RM1,500 di Mahkamah Majistret Muar 1 atas kesalahan membuat laporan palsu, seminggu sebelum itu.
Majistret Suzana Mokhtar membuat keputusan itu selepas kedua-dua tertuduh yang berusia 38 dan 30 tahun mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan jurubahasa terhadapnya.
Bagaimanapun, kedua-dua beradik tersebut membayar denda dikenakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, Ija dan Tengku Aziz, didakwa memberi laporan palsu dan bersubahat kepada penjawat awam berhubung kehilangannya Balai Polis Lenga pukul 11. 38 malam, pada 15 Julai lalu.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 182 kanun sama, hukuman penjara boleh sampai enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pada 14 Julai lalu, Tengku Aziz membuat laporan berhubung kehilangan abangnya dan keesokan hari, orang awam menemui sebuah kereta dipandu Ija dalam Sungai Tui, Bukit Kepong, pukul 3 petang.
Operasi mencari dan menyelamat bermula pada hari sama membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Sukarelawan (Rela). – MalaysiaGazette















