Gambar penemuan mayat yang tular.

JASIN – Seorang lelaki maut dipercayai dibelasah sekumpulan individu selepas menunjukkan kemaluannya kepada orang ramai di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Jasin Bestari di sini malam tadi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 7.30 malam menyebabkan dua pengunjung pasar raya itu berang dan memukul mangsa yang berusia 51 tahun itu.

Mangsa kemudian melarikan diri ke arah bangunan kedai berhampiran namun terus dikejar dan dipukul sehingga ke kawasan semak dan mangsa turut berenang merentasi sungai terletak kira-kira 200 meter dari lokasi pertama.

Lokasi kejadian mangsa ditemukan mati.

“Si pelaku kemudian telah meminta bantuan orang ramai di situ sebelum beberapa individu lagi memukul mangsa menggunakan tangan dan kaki sehingga lelaki itu meninggal dunia serta merta di lokasi.

“Susulan maklumat kejadian yang diterima pada jam 9.30 malam, polis berjaya menahan tujuh suspek lelaki berumur antara 20 hingga 50 tahun termasuk seorang warga Pakistan yang dipercayai terlibat dalam kes ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, semakan turut mendapati mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai anak pernah disabitkan dengan dua kesalahan lampau melakukan kelucahan melampau di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan pada 2003 dan 2024.

“Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

“Pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak mengambil tindakan terburu-buru yang tidak mengikut lunas undang-undang,”katanya.

Terdahulu, hari ini tular penemuan mayat seorang lelaki yang didakwa menjadi mangsa pembunuhan di Jasin Bestari di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast