KUALA LUMPUR – Kerajaan komited memperkasa pendidikan anak-anak desa menerusi pelbagai bantuan termasuk pemberian insentif khas RM300 kepada pelajar cemerlang Program Tuisyen Rakyat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) 2024.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemberian itu merupakan tanda penghargaan kepada pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya, kejayaan yang diraih bukan sekadar bukti ketekunan pelajar, malah hasil sokongan penuh daripada ibu bapa, guru dan seluruh ekosistem pendidikan desa.
“Saya yakin, dalam setiap diri pelajar, tersembunyi potensi luar biasa. Apa yang mereka perlukan hanyalah ruang, dorongan dan sistem sokongan.
“Bila semua itu tersedia, anak desa bukan sahaja mampu mencatat keputusan cemerlang, malah mampu pulang ke kampung halaman dan memimpin perubahan dari tanah tumpah darah sendiri,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Tuisyen Rakat Risda 2024, di sini, hari ini.
Menurut beliau, program berkenaan adalah bukti nyata bahawa ilmu itu hak semua, bukan milik segelintir.
Jelasnya, ia adalah manifestasi komitmen kerajaan madani dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bahawa tiada seorang pun anak desa harus tercicir hanya kerana lokasi dan latar belakang.
“Saya yakin, usaha ini tidak sia-sia. Saya sebenarnya sedang melihat bakal ahli profesional, ilmuwan, teknokrat, malah mungkin ada seorang yang berada di hadapan ini yang akan menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Sehingga tahun lalu, sebanyak RM31.03 juta telah disalurkan, memberi manfaat kepada 35,316 pelajar
Bagi tahun lalu sahaja, RM3.51 juta telah diagihkan kepada 3,015 pelajar dengan tumpuan kepada lima subjek teras SPM.
Program ini disediakan secara percuma melibatkan lebih 1,000 guru di 201 pusat tuisyen seluruh negara. – MalaysiaGazette















