KUALA LUMPUR – Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat berkuatkuasa serta merta mulai pukul 12 tengah malam waktu tempatan (24.00) pada 28 Julai 2025.
Menurut kenyataan bersama Malaysia, Thailand dan Kemboja, ia merupakan langkah penting untuk mengurangkan ketegangan dan mengembalikan kemanan dan keselamatan kedua-dua belah pilhak.
Selain itu, katanya, mesyuarat tidak rasmi pemerintah tentera serantau antara Thailand dan Kemboja akan dilakukan pada jam 7 pagi 29 Julai diikuti mesyuarat attache pertahanan yang diketuai Pengerusi ASEAN, sekiranya kedua-dua pihak bersetuju.
Ia diikuti Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am diadakan pada 4 Ogos ini dengan Kemboja sebagai tuan rumah.
“Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia sedia untuk menyelaras sebuah pasukan pemerhati untuk mengesah dan memastikan pelaksanaannya,” katanya.
Menurutnya, Malaysia juga berunding dengan anggota ASEAN untuk menyertai usaha pemantau, mencerminkan komitmen serantau untuk menyokong keamanan.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan berikutan mesyuarat khas yang dipengersuikan, dihos dan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.
Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet menghadiri mesyuarat yang bermula jam 3 petang itu.
Turut hadir ialah Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard Kagan dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing dengan Amerika Syarikat bertindak selaku penganjur bersama manakala China sebagai pemerhati. – MalaysiaGazette
















