Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menanggung penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya kepada syarikat konsesi dengan anggaran kos hingga mencecah RM568.92 juta bagi 2025.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penetapan jumlah pampasan sebenar yang perlu dibayar oleh kerajaan.

“Anggaran kos RM568.92 juta adalah puratakan kita dapat dalam masa lampau, jadi kita puratakan jumlah itu. Tapi angka terakhir tertakluk kepada juru audit operasi pihak kerajaan dan syarikat konsesi,” katanya ketika sesi jawapan menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (Pekan) yang bertanyakan implikasi kewangan yang perlu ditanggung oleh kerajaan serta jumlah pengguna yang akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan penangguhkan kenaikan kadar tol.

Antara 10 lebuh raya yang terlibat dalam penangguhan kenaikan kadar tol bagi 2025 ialah Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NKSE) dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE).

Turut terlibat Lebuhraya Pantai Timur Fasa II (LPT2), Lebuhraya Klang Selatan (SKVE), Jambatan Sultan Abdul Halim Muazzam Shah (JSAHMS), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) dan Lebuhraya Lingkaran Luar-Butterworth (LLB).

Mengulas lanjut, Alexander juga berkata, penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya terbabit akan dinikmati faedahnya hampir 1 juta pengguna.

“Penangguhan kenaikan kadar tol 10 lebuh raya ini akan memberi manfaat kepada lebih 941,000 pengguna atau hampir 1 juta pengguna yang menggunakan lebuh raya tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast