KUALA LUMPUR – Hadir dengan reputasi juara Liga A2 musim lalu, Perlis Guar Syed Alwi (GSA FC) menyifatkan saingan Liga A1 Semi-Pro 2025/2026 sangat kompetitif dan menarik dengan penyertaan beberapa pasukan dari Liga Super.
Kehadiran beberapa pasukan simpanan yang diketahui mempunyai pemain-pemain berkualiti pastinya turut mampu memberikan saingan sengit kepada semua pasukan.
Bagi Pengurus pasukan Perlis GSA FC, Amar Rohidan, pasukan akan tampil dengan watak pasukan bukan pilihan atau underdog melihatkan barisan pemain sedia ada ketika ini.
“GSA FC akan diperkuatkan dengan majoriti pemain-pemain sedia ada dengan beberapa penambahbaikkan terutamanya penyertaan pemain bakat baharu berusia 22 tahun.
“Mereka semua adalah anak jati Perlis yang akan menggalas cabaran selaku wakil tunggal Perlis dalam pentas liga bola sepak tempatan ketika ini,” ujarnya di Facebook AFL di sini hari ini.

Jelas Amar, pasukan telah melakukan persiapan awal dengan siri latihan bermula Jun lalu dan mengadakan perlawanan persahabatan untuk menilai kemampuan pasukan.
“Untuk musim pertama di Liga A1, saya jangkakan saingan sengit terutamanya dengan adanya beberapa pasukan yang pernah beraksi di Liga Super.
“Inilah cabaran yang perlu dihadapi pemain-pemain GSA FC, kami akan harungi satu persatu dan meletakkan sasaran menamatkan saingan dikelompok 10 terbaik,” ujar bekas pemain Perlis FA ( 2005-2010), Kedah (2011-2012), Felda United FC (2013) dan Kelantan (2014) itu.
Mengulas tekanan selaku wakil tunggal dari Perlis, Amar yang juga bekas pemain Bawah 23 tahun negara (2009) melihatnya satu cabaran yang perlu dilalui pemainnya.
“Ini peluang pemain untuk menimba pengalaman beraksi dalam saingan yang kompetitif seumpama ini dan mengharapkan segala perancangan pasukan berjalan lancar,” katanya.
Musim lalu, Perlis GSA FC dikenali sebagai GSA FC menamatkan saingan Liga A2 Amateur selaku juara selepas menewaskan pasukan pilihan Kelantan WTS FC pada aksi akhir di Stadium UiTM, Shah Alam. – MalaysiaGazette
















