KUALA LUMPUR – “Apa yang kami lalui ini bukan sesuatu yang mudah, tetapi kami percaya kebaikan akan datang jua, Insya-Allah.”
Itu luahan Datin Seri Rosmah Mansor apabila menerima sepucuk ‘Warkah Kasih’ daripada mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengadakan kunjungan hormat di kediamannya hari ini.
Kunjungan itu bagi menyampaikan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Kunjungan diketuai Pengerusi UMNO Siswa USM, Muhammad Nazmi Hakimi yang membawa suara mahasiswa untuk menzahirkan sokongan moral kepada Najib di samping mengimbau jasa beliau dalam membangunkan pendidikan negara dan membela nasib generasi muda.
“Petang ini, saya bersama rakan-rakan mahasiswa hadir bagi menyampaikan warkah kasih ini sebagai tanda ingatan dan penghargaan kepada Datuk Seri Najib.
“Kami membesar di bawah kepimpinan beliau dan merasai sendiri manfaat daripada dasar-dasar yang dilaksanakan, termasuk baucar buku 1Malaysia, kemudahan PTPTN, peluang latihan industri dan biasiswa. Ini adalah cara kami menunjukkan bahawa anak muda masih berdiri bersama beliau,” katanya.

Turut hadir, Yang di-Pertua Majlis Mahasiswa Anak Pahang USM, Mohamed Azrin Samah dan pensyarah sosiologi politik USM, Datuk Sivamurugan Pandian.
Dalam pertemuan itu, Rosmah jelas terharu dengan penghargaan yang diberikan oleh para mahasiswa itu dan mengakui sokongan tersebut memberi kekuatan buat keluarganya.
“Terima kasih kepada semua yang hadir atas jemputan saya. Kami sangat tersentuh dengan penghargaan ini kerana mereka menghargai segala yang telah Datuk Seri lakukan, terutama untuk orang muda dan mahasiswa.
“Datuk Seri memang sentiasa memberi penekanan kepada kepentingan pendidikan. Apa saja yang dibuatnya, beliau akan fikir apa lagi yang pelajar universiti perlukan supaya mereka dapat belajar dengan baik. Itulah keutamaan beliau sejak dulu,” katanya dengan penuh sebak.
Menurut Rosmah, keluarga mereka kini melalui ujian besar, namun doa dan sokongan daripada rakyat khususnya golongan muda menjadi kekuatan untuk terus tabah.
“Apa yang kami lalui ini bukan sesuatu yang mudah. Tetapi dalam pengalaman ini, kami sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar kebaikan akan datang juga, Insya-Allah,” ujarnya.

Najib sebahagian sejarah hidup kami
Antara petikan warkah berkenaan berbunyi:
“Dengan linangan rasa terima kasih yang tidak terhingga, kami, mahasiswa Universiti Sains Malaysia merafak warkah ini buat Dato’ Sri, seorang negarawan yang jasanya tidak pernah kami lupakan.
Kami membesar di bawah kepimpinan Dato’ Sri. Baucar buku 1Malaysia, PTPTN yang dipermudahkan, peluang latihan industri, biasiswa, pendidikan percuma untuk pelajar cemerlang semua itu dikecapi hasil usaha dan perhatian Dato’ Sri kepada anak muda.
Dalam diam dan sunyi, kami tahu Dato’ Sri sedang melalui ujian besar. Namun ketahuilah, ramai anak muda masih mendoakan. Kami percaya, kebenaran pasti akan terbit jua.
Dato’ Sri bukan hanya Perdana Menteri keenam kami, Dato’ Sri adalah sebahagian sejarah hidup kami.”
Muhammad Nazmi menegaskan, warkah tersebut adalah simbolik sokongan mahasiswa terhadap Najib dan tanda penghargaan mereka terhadap jasa beliau kepada negara.
“Kami mahu sampaikan mesej bahawa anak muda masih berdiri bersama Datuk Seri Najib. Ini bukan sekadar warkah, tetapi tanda kasih mahasiswa yang membesar dengan dasar-dasar beliau,”. – MalaysiaGazette















