KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menggagalkan cubaan empat individu warga Afghanistan dipercayai sebuah keluarga untuk memasuki negara ini menggunakan visa palsu.
Mereka merupakan antara 132 warga asing yang diperiksa dalam operasi pemantauan dan saringan dokumen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dijalankan oleh Unit Pemantau KLIA Terminal 1.
Menurut Unit Komunikasi Korporat AKPS, empat sekeluarga berkenaan terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita dewasa dikesan berlegar-legar tanpa hala tuju di kawasan terminal KLIA, sekali gus mencetuskan kecurigaan Pasukan Unit Pemantau.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kesemua individu tersebut tiba di negara ini pukul 9.20 malam pada 24 Julai lalu, menerusi penerbangan EK342 yang dikendalikan oleh Emirates Airlines.
“Hasil soal siasat lanjut mendedahkan bahawa kesemua individu terbabit merupakan penumpang basi, iaitu penumpang yang telah tiba di negara ini tetapi gagal melaporkan diri di kaunter pemeriksaan imigresen dalam tempoh masa yang ditetapkan.
“Difahamkan, mereka telah berada di kawasan terminal selama empat hari tanpa melalui proses pemeriksaan imigresen seperti yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu hasil semakan ke atas dokumen perjalanan mendapati kesemua visa milik mereka adalah palsu.
Katanya, menerusi siasatan lanjut, mereka mengaku tidak pernah menjejakkan kaki ke Uzbekistan yang kononnya sebagai transit dan visa palsu tersebut diperolehi melalui seorang ejen dengan bayaran AS$6,000 (RM25,386).
Sehubungan itu, tambahnya, AKPS telah mengambil tindakan menolak kemasukan (NTL- Not To Land) ke atas keempat-empat individu berkenaan dan akan dihantar pulang ke negara asal mereka esok melalui penerbangan Emirates Airlines.
“Insiden ini sekali lagi membuktikan komitmen berterusan AKPS dalam mengekang kemasukan warga asing melalui modus operandi pemalsuan visa ke negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















