KUALA LUMPUR – Tindakan dua lelaki warga Pakistan memukul seorang penghantar barangan menggunakan kayu membawa padah apabila mereka diberkas polis di Jalan Avenue 3, Ampang Jaya kelmarin.
Insiden itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati kedua-dua suspek terhadap mangsa yang didakwa telah memaki mereka menerusi panggilan telefon sebelum penghantaran dilakukan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 31 tahun sedang menjalankan tugasan menghantar barang.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, mangsa bertemu dua lelaki yang menunggu untuk menerima bungkusan dan membuat bayaran secara tunai.
“Bagaimanapun berlaku salah faham apabila salah seorang suspek menuduh mangsa memakinya sebelum bertindak menolak mangsa hingga berlaku pergelutan.
“Salah seorang suspek mengepit leher mangsa manakala seorang lagi memukulnya di bahagian belakang badan menggunakan sebatang kayu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azam berkata, susulan laporan polis yang dibuat mangsa pukul 1.40 tengah hari pada 23 Julai lalu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menahan kedua-dua suspek berusia 27 dan 35 tahun.
Polis turut merampas sebatang buluh sepanjang 65 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian.
“Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek telah dibenarkan selama empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya. – MalaysiaGazette
















