Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sentiasa bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sabah dalam proses rundingan dan perbincangan dalam menyelesaikan isu persempadanan maritim Malaysia dan Indonesia.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, wakil Kerajaan Sabah dilibatkan di dalam mesyuarat berkaitan serta rundingan teknikal persempadanan maritim di antara kedua negara.

Katanya, kerajaan juga sentiasa mengambil serius pandangan dan pendirian Kerajaan Sabah dalam membuat apa-apa keputusan dalam memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia sentiasa terpelihara.

“Perbincangan berkaitan sempadan maritim adalah berlandaskan kepada prinsip perundangan dan teknikal yang dilakukan secara teliti, cermat dan berhemat.

“Dalam hal ini, kerajaan sentiasa membuat penilaian terperinci dan menyeluruh berhubung sebarang cadangan penyelesaian termasuklah kerjasama ekonomi dalam mencari keputusan yang saling memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya dalam sesi pertanyaan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang meminta Menteri Luar menyatakan apakah Kerajaan Persekutuan bercadang untuk melibatkan Kerajaan Sabah dalam sebarang rundingan berkaitan isu Ambalat agar kepentingan negeri dapat dipelihara sekaligus memastikan peluang ekonomi dapat dinikmati oleh rakyat negeri itu.

Mohamad menambah, rujukan kawasan Ambang Batas Laut atau ‘Ambalat’ yang digunakan oleh pihak Indonesia adalah tuntutan meliputi sebahagian Laut Sulawesi termasuk Blok ND6 dan ND7.

Katanya, Malaysia berpendirian bahawa Blok ND6 dan ND7 tersebut merupakan sebahagian dari kawasan kedaulatan Malaysia dan hak kedaulatan negara berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa yang terhasil selepas keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada tahun 2002.

Oleh yang demikian ujar beliau, rujukan yang lebih tepat kepada kawasan yang berkenaan yang perlu digunakan selaras dengan pendirian Malaysia adalah Laut Sulawesi dan bukannya ‘Ambalat’.

“Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Luar Negeri sentiasa bekerjasama rapat dengan pemegang-pemegang taruh yang berkaitan berhubung dengan perkara berkaitan persempadanan maritim Malaysia.

“Usaha ini dilakukan dengan pendekata dan penuh komitmen dalam melaksanakan rundingan dengan negara-negara jiran bagi mencari penyelesaian yang dapat dipersetujui oleh kedua-dua pihak,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast