SHAH ALAM – Kira-kira seluas empat hektar tapak pelupusan sampah haram berdekatan kawasan M Residence, di Rawang masih terbakar walaupun operasi pemadaman telah dijalankan sejak Ahad lalu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, operasi dijalankan hampir 20 jam setiap hari sejak panggilan kecemasan diterima pada jam 11.27 pagi.
“Setakat ini kebakaran berlaku di kawasan seluas 1.6 hektar dan berjaya dikawal sekitar 50 peratus dengan kaedah pemadaman digunakan secara direct attack.
“Seramai tujuh pegawai dan anggota bomba ditugaskan di lokasi dan kita turut menggunakan teknologi dron dilengkapi inframerah untuk mengesan titik panas.
“Kebakaran itu sukar dipadam sepenuhnya kerana terdapat beberapa titik panas di lokasi berbeza dan proses pemadaman sedang dijalankan dengan bantuan jengkaut.
“Bagaimanapun, punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, operasi pemadaman turut melibatkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pasukan Tindak Cepat (Pantas), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selain bantuan dua unit jentera penggali (jengkaut).
Terdahulu, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dalam kenyataan memaklumkan, kebakaran berlaku di tapak pelupusan sampah haram berhampiran M Residence 2.
Namun, kebakaran itu tidak menjejaskan kualiti air Sungai Kundang yang menjadi laluan sumber air utama ke Loji Rawatan Air (LRA) Negeri Selangor. – MalaysiaGazette
















