Mangsa, kanak-kanak berusia enam tahun yang dipercayai dibunuh sebelum mayatnya ditemukan ditanam di Rompin, kelmarin.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Senator Dr RA Lingeshwaran menyifatkan kematian tragis M Tishant sebagai satu kejadian yang mengemparkan negara dan perlu menjadi peringatan kepada masyarakat.

Mangsa, kanak-kanak berusia enam tahun yang dipercayai dibunuh sebelum mayatnya ditemukan ditanam di Rompin, Negeri Sembilan kelmarin.

“Kematian kejam dan menyayat hati Tishant tidak boleh diterima sama sekali. Tiada seorang kanak-kanak pun sepatutnya melalui penderitaan sekejam ini. Tiada masyarakat yang patut membiarkan seorang anak kecil menjadi mangsa keganasan.

“Ingatlah, ini bukan sekadar laporan berita tetapi satu peringatan tegas agar seluruh rakyat Malaysia merenung kembali nilai kemanusiaan dan masa depan yang sedang dibentuk untuk generasi akan datang.

“Sangat menyedihkan apabila seorang kanak-kanak dicekik dan dibunuh oleh individu yang sepatutnya melindungi dan menyayangi mereka. Tiada kanak-kanak seharusnya menjadi sasaran penderaan atau keganasan seumpama ini,” katanya hari ini.

Ahli Dewan Negara, Dr. RA Lingeshwaran.

Lingeshwaran turut mengingatkan ibu bapa agar tidak malu untuk mendapatkan bantuan sekiranya berdepan tekanan emosi atau masalah kawalan diri.

“Kepada ibu bapa yang mungkin terbeban, hilang kawalan emosi atau bergelut dengan tekanan tolong dapatkan bantuan. Hilang kawalan tidak sepatutnya membawa kepada kehilangan nyawa anak,” ujarnya.

Beliau turut menggesa masyarakat untuk tidak berdiam diri jika mengetahui berlaku penderaan terhadap kanak-kanak di sekeliling mereka.

“Kepada jiran tetangga, saudara-mara dan masyarakat umum jika anda mendengar atau menyedari penderaan terhadap kanak-kanak, jangan berdiam diri. Laporkan kepada pihak polis. Bertindaklah. Tindakan anda mungkin menyelamatkan satu nyawa,” katanya.

Komuniti mesti memastikan kanak-kanak selamat, dilindungi dan disayangi bukan disakiti, ditakuti atau dikorbankan.

“Biarlah kematian adik Tishant menjadi detik kebangkitan untuk kita semua. Jangan biarkan ada lagi anak kecil yang menjadi korban. Perlindungan untuk setiap anak, tanggungjawab dari setiap dewasa,” katanya.

Nasib menimpa kanak-kanak itu mendapat perhatian ramai dengan media melaporkan mayatnya ditemui ditanam di kawasan Jempol,sSebelum itu, dia dilapor hilang di kawasan Taman Bukit Indah di Iskandar Puteri, Johor pada 24 Julai lalu.

Mangsa disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dengan tekanan pada leher dan bedah siasat mendapati dia maut akibat jerutan menggunakan pengikat kabel.

Bapa kandung mangsa yang berusia 36 tahun ditahan dan kini direman polis bagi membantu siasatan.

Suspek sebelum itu membuat laporan polis mendakwa anaknya hilang selepas ditinggalkan dalam kereta ketika dia keluar membeli makanan.

Ketika ini pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian namun berdasarkan soal siasat awal, suspek dipercayai berdepan masalah rumah tangga dan dalam proses perceraian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast