Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 24 Oktober ini bagi memutuskan saman SRC International Sdn. Bhd. dan dua anak syarikatnya terhadap UMNO dan UMNO Selangor bagi menuntut sejumlah RM19.5 juta yang didakwa dipindahkan secara salah.

Dua anak syarikat itu ialah Jendela Pinggiran Sdn. Bhd. (JPSB) dan Gandingan Mentari Sdn. Bhd. (GMSB).

Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan pihak-pihak selama dua hari bermula kelmarin dan berakhir hari ini.

Dalam saman yang difailkan pada Mei 2021, SRC dan kedua-dua anak syarikatnya menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada parti politik itu dan mendakwa UMNO tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan, 10 tahun lalu.

Saman kedua pula yang difailkan secara berasingan terhadap Badan Perhubungan UMNO Selangor yang didakwa menerima RM3.5 juta secara salah pada 2015.

Pada prosiding hari ini, peguam, Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili UMNO Selangor berhujah, tiada pertikaian yang serius berkaitan wang yang diterima oleh entiti politik itu kerana ia sememangnya merupakan derma politik.

Kelmarin, peguam UMNO, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman berhujah, dana berjumlah RM16 juta yang diterimanya daripada subsidiari syarikat pelaburan strategik, SRC merupakan derma dan sumbangan.

Hujah beliau, wang itu diterima dengan niat yang baik dan dana berkenaan dibelanjakan UMNO dalam aktiviti serta program bersifat tanggungjawab sosial korporat (CSR) sejajar dengan matlamat SRC dan anak syarikatnya iaitu Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB).

Sementara itu, peguam SRC dan dua subsidiarinya, Razlan Hadri Zulkifli berhujah, tiada sebarang dokumen pada ketika itu daripada JPSB atau SRC yang menjelaskan mengenai pemindahan wang berkenaan.

Beliau berkata, tiada sebarang alasan langsung bagi plaintif untuk memindahkan, menderma atau menghadiahkan wang kepada UMNO.

Hujah beliau, begitu juga bagi pihak UMNO untuk menerimanya di mana parti itu langsung tidak mempunyai sebarang hubungan atau pengetahuan mengenai plaintif pada asalnya.

“UMNO terus-menerus menegaskan bahawa wang diterima sebagai sumbangan politik. Ini tidak dapat diterima sama sekali kerana UMNO langsung tidak mengesahkan atau menyatakan akaun bagi jumlah RM16 juta yang diterima itu pada bila-bila masa.

“UMNO hanya menganggap wang itu sebagai sumbangan politik. Sehingga kini, tiada sebarang rekod ditunjukkan berkenaan tujuan pemindahan RM16 juta kepada UMNO atau sebab mengapa cek JPSB berada di tangan Datuk Seri Najib Razak (pemegang saham tunggal serta penasihat emeritus SRC) pada masa berkaitan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast