KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri ditahan susulan kematian seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan yang ditemui dengan kesan lebam pada tubuh, di sebuah kondominium, di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 38 dan 50 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan.
“Kita menerima laporan daripada suspek yang merupakan bapa angkat bayi malang itu sekitar jam 9.34 malam memaklumkan mangsa tidak sedarkan diri ketika di rumah tanpa sebab yang diketahui.
“Kemudian polis telah hadir ke rumah pasangan itu dan mendapati mangsa berada di ruang tamu dalam keadaan kebiruan dan penuh kesan lebam di badan,” katanya dalam kenyataan hari ini..
Tambah beliau, permohonan reman ke atas kedua-dua suspek akan dibuat hari ini bagi siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611).
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bagi bedah siasat,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















