Pengarah Urusan Danau Lumayan Sdn. Bhd, Shahril Reza Shaheen

KUALA LUMPUR – Syarikat pemaju perumahan, Danau Lumayan Sdn. Bhd akan membangunkan 3,438 unit kediaman mampu milik di Bandar Sri Permaisuri, Cheras dekat sini.

Pengarah Urusannya, Shahril Reza Shaheen berkata, projek perumahan mampu milik yang dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1.01 bilion itu.

Jelasnya, projek perumahan yang dikenali sebagai Residensi Wilayah Aman Lumayan meliputi tiga fasa iaitu Fasa 1, Fasa 2A dan Fasa 2B dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun.

“Projek ini dimulakan dengan pembangunan di Fasa 2B dan ketika ini kerja-kerja awalan tapak sudah pun siap. Di fasa ini, kita bangunkan Residensi Wilayah setinggi 55 tingkat dan setiap tingkat mempunyai 26 unit.

“Menariknya bagi projek terbaharu ini, kita memperkenalkan konsep bangunan berbentuk ‘Y’ yang mana setiap pemilik akan mempunyai ‘view’ masing-masing dan tidak lagi mengadap antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan Danau Lumayan Sdn. Bhd, Shahril Reza Shaheen

 

Shahril Reza yang juga anak kepada ‘Iron Lady’ Allahyarhamah Datuk Maznah Hamid berkata, bagi Fasa 2A, ia akan dibangunkan dengan 50 tingkat, manakala bagi Fasa 1 setinggi 43 tingkat dan harga bagi semua unit adalah RM300,000.

Istimewa katanya, projek tersebut berdekatan cadangan jajaran laluan Lingkaran (MRT3) Stesen Sri Permaisuri iaitu kira-kira 500 meter.

“Pembeli kediaman ini tidak perlu risau tentang masalah parkir kerana mereka boleh menggunakan kemudahan awam yang ada berhampiran kawasan sekitar ini.

“Banyak kemudahan lain berhampiran kawasan ini seperti Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Stadium Cheras, balai polis dan serta tempat riadah seperti Taman Tasik Permaisuri,” katanya.

Antara kemudahan lain yang terdapat di residensi itu termasuklah kolam renang serta kolam mandi untuk kanak-kanak ala taman tema, dewan, surau serta kawalan keselamatan 24 jam serta surau.

“Kita turut menyediakan 18 gerai penjaja Madani khusus kepada usahawan untuk berniaga. Ia juga adalah salah satu inisiatif terbaru yang diperkenalkan pihak kerajaan untuk perumahan mampu milik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast