GEORGE TOWN – Seorang pelayan kedai kopi dan pembantu kedai tomyam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar dan melempar mercun ke arah sebuah restoran, pada minggu lalu.
Tertuduh, Khoo Teng Chi, 32, dan Joanne Lim, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara bersama dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan bahan letupan iaitu mercun dengan cara membakar dan melemparkannya ke premis Jing Zhang Restaurant & Bar milik seorang wanita hingga menyebabkan mengalami kerosakan serta kerugian berjumlah RM34,800.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di No. 10, Jalan Pahang di sini, jam 5.19 pagi pada 23 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong menawarkan jaminan RM15,000 terhadap setiap tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam serta penggunaan bahan letupan dalam kejadian tersebut.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Zulzarif Mohd Zakwan yang mewakili kedua-dua tertuduh mohon jaminan RM5,000 setiap seorang dengan alasan masing-masing anak guamnya mengalami mengalami kesusahan dalam hidup dan ini merupakan kes pertama membabitkan kesalahan khianat.
“Bagi anak guam saya bernama Teng Chi dia hanya bekerja sebagai pelayan kedai kopi dengan pendapatan bulanan RM1,800 selain perlu sara sendiri anak perempuannya berusia enam tahun susulan telah bercerai.

“Manakala Joanne Lim pula, membantu ibunya menguruskan kedai tomyam dengan pendapatan bulanan RM1,000 dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau sebelum ini.
“Mereka juga bersedia mematuhi segala syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu lapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak boleh mengganggu saksi sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan 2 September depan untuk sebutan semula. – MalaysiaGazette















