MELAKA – Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS),
Universiti Putra Malaysia (UPM) melakukan pelepasan benih ketam renjong (Portunus pelagicus) dalam Program Translasional 2023: Empowering Social Transformation through Aquaculture di Pengkalan Nelayan Kuala Sebatu, Sungai Rambai.
Program ini sebahagian daripada inisiatif “High-Value Blue Swimming Crab Seed Program for the Sungai Rambai Community”.
Pengarah I-AQUAS, Prof. Dr. Ahmad Zaharin Aris berkata, inisiatif ini bertujuan
memperkasakan komuniti pesisir melalui pembangunan akuakultur berimpak tinggi dan
pemuliharaan sumber marin secara mampan.
“Ia menyokong pemulihan stok ketam renjong tempatan yang merupakan sumber ekonomi penting kepada komuniti nelayan. Kita mahu hasil penyelidikan universiti diterjemahkan secara langsung kepada komuniti, dan menerusi program ini, kaedah penternakan ketam renjong diperkenalkan kepada nelayan,” katanya.
Menurut beliau, program yang telah memasuki tahun kedua ini telah menunjukkan hasil
yang memberangsangkan.
“Empat pelepasan benih ketam renjong telah dilaksanakan dengan jumlah terkini melebihi
250,000 ekor. Hasilnya, pendaratan ketam meningkat secara signifikan.
“Dahulu, nelayan hanya mendapat tiga hingga empat ekor ketam setiap kali turun ke laut,
tetapi kini hasil pendaratan mencecah hampir 80 kilogram, sekali gus meningkatkan
pendapatan mereka sehingga RM4,000,” katanya.
Selain pelepasan benih, UPM turut membangunkan modul latihan merangkumi teknik
penjagaan ketam, pembenihan dan pemasaran bagi membantu nelayan mengurus ternakan secara berdikari dan terus menghubungkan mereka dengan pembeli.
“Nelayan kini tidak lagi bergantung kepada hasil tunggal seperti kupang. Kepelbagaian hasil laut seperti ketam renjong membantu meningkatkan daya tahan ekonomi mereka,” katanya.
Dr. Ahmad Zaharin berkata, program ini juga berjaya memendekkan tempoh
pembesaran ketam dari tempoh semula jadi 10 hingga 2 bulan kepada hanya 5 hingga 8
bulan menerusi kualiti benih yang lebih baik sekali gus mempercepatkan pulangan hasil.
“Ketahanan benih juga meningkat dengan kadar kelangsungan hidup naik daripada 10
peratus secara semula jadi kepada 20 peratus melalui program ini,” katanya.
Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Jasin, Turina Mulo Ab Kahar berkata,
program tersebut sebagai usaha strategik yang bukan sahaja memberi manfaat kepada
nelayan, malah memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat.
“Harapan saya agar UPM meneruskan usaha ini dan membuka lebih banyak ruang
kolaborasi untuk manfaat negara,” katanya.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Nelayan Sebatu, Johari Ismail berkata, inisiatif ini
banyak membantu menjana sumber ekonomi baharu buat komuniti nelayan tempatan dalam situasi hasil laut yang semakin berkurang.
“Dengan perubahan ekosistem dan bantuan pembenihan ketam renjong penduduk kini
mendapat hasil laut yang lebih pelbagai dan menyumbang kepada penambahan sumber
makanan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















