Logo Majlis Agama Islam Selangor

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyambut baik tindakan SIS Forum (Malaysia) yang telah menggugurkan perkataan “Islam” daripada nama “Sisters In Islam” yang lazim digunakan oleh syarikat itu.

Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, langkah SIS Forum (Malaysia) itu merupakan suatu tindakan yang sangat wajar dilaksanakan.

Ia juga mencerminkan kesediaan SIS Forum untuk menghormati titah Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di Negeri Selangor.

“DYMM Sultan Selangor telah menyampaikan hasrat baginda melalui MAIS agar SIS Forum (Malaysia) meneruskan aktiviti memberi kesedaran berhubung dengan hak wanita dan undang-undang keluarga Islam menurut ajaran Islam yang sebenar.

“Sebagai sebuah syarikat yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat, SIS Forum (Malaysia) juga hendaklah menumpukan usaha untuk meningkatkan perpaduan di kalangan masyarakat demi keharmonian masyarakat di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Sultan Selangor menasihatkan agar SIS Forum (Malaysia) dan mana-mana syarikat lain, pertubuhan atau organisasi sentiasa menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan Negeri serta merujuk kepada pihak berkuasa agama Negeri berhubung dengan apa-apa perkara yang berkaitan dengan agama Islam.

Di samping itu baginda juga menyarankan agar SIS Forum (Malaysia) dan semua pihak untuk lebih berhati- hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau penerbitan berkaitan dengan agama Islam untuk memastikan perkara yang disampaikan kepada masyarakat tidak bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar mengikut pegangan dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

 Berikutan dengan tindakan SIS Forum (Malaysia) menggugurkan perkataan “Islam” daripada nama yang lazim digunakan oleh syarikat itu, MAIS menyarankan agar semua pihak lain juga tidak lagi merujuk syarikat itu dengan nama “Sisters In Islam” dalam apa-apa kenyataan atau penerbitan pada masa akan datang. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

SIS gugur perkataan Islam, akur titah Sultan Selangor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast