Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Bangunan Parlimen untuk membentangkan RMK 13 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto MOHD ADZLAN, 31 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR –  Sebanyak 95 peratus perkhidmatan kerajaan akan dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya menjelang tahun 2030, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan itu bagi memastikan Malaysia mampu berdiri megah sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi yang berpacukan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digital.

“Dengan pendekatan berfokus dan usaha berterusan, Malaysia pasti berupaya mencapai kedudukan 20 terbaik dunia dalam Online Service Index (UN e-Government Development Index) serta mengekalkan Kategori A dalam GovTech Maturity Index,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen di sini hari ini.

Anwar menambah, Malaysia menetapkan hala tuju yang jelas untuk menerajui ekonomi Asia Tenggara dalam melalui beberapa agenda utama.

Perdana Menteri berkata, penerapan inovasi teknologi tempatan akan diberi tumpuan bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam pembangunan aset digital strategik seperti AI, data analitik dan sistem digital kerajaan.

Aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI) juga akan dipergiat bagi meningkatkan produk dan perkhidmatan berasaskan ‘Made by Malaysia’.

Langkah itu katanya penting untuk memperkukuh daya saing ekonomi negara, selain membangunkan industri yang lebih mampan dan berimpak tinggi selaras hasrat

“Bagi memanfaatkan peluang ini, Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 akan memacu pembangunan bakat tempatan, penyelidikan, pengkomersialan teknologi serta penyediaan infrastruktur digital bagi menyokong adaptasi AI secara meluas,” katanya.

Anwar berkata, ekosistem AI juga akan dimantapkan melalui pengukuhan kepercayaan digital.

Strategi kepercayaan digital dan keselamatan data nasional akan dilancarkan untuk melindungi data peribadi, menangani ancaman siber, serta memastikan keselamatan ekosistem dan kedaulatan digital negara.

Pelaksanaan dasar dan strategi utama seperti Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia akan diberi keutamaan, dengan fokus kepada pelaksanaan yang berkesan dan memberi manfaat terus kepada rakyat serta industri.

Selain itu, inisiatif Pengenalan Identiti Digital Perniagaan dan penggunaan digital twin akan turut menjadi ikhtiar penting dalam meningkatkan daya saing dan inovasi pemain industri.

“Bagi memperkukuh tadbir urus berasaskan data digital pula, inisiatif seperti bank data negara sebagai pangkalan data nasional yang bersepadu akan dilaksanakan dan Suruhanjaya Data akan diwujudkan bagi mengawal selia data negara.

“Program akan dilaksanakan bagi memupuk literasi AI seawal peringkat rendah, memperluas harta intelek tempatan, meningkatkan suntikan dana strategik dan menggalakkan kolaborasi rentas sektor antara pemain industri, institusi penyelidikan, universiti dan inovator muda negara.

“Pendekatan ini akan memastikan ekosistem inovasi negara dapat berkembang secara menyeluruh dan memberi pulangan jangka panjang kepada ekonomi dan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast