KUALA LUMPUR – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersetuju untuk menangguhkan pengumuman mengenai tarif timbal balas yang dikenakan ke atas Malaysia esok.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan itu dimaklumkan Trump dalam perbualannya menerusi telefon pada jam 6.50 pagi tadi.
Sebelum ini, AS memutuskan untuk mengenakan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas semua produk dari Malaysia bermula 1 Ogos 2025.
“Saya ingin memaklumkan pada jam 6.50 pagi tadi saya berpeluang bercakap dengan Presiden AS, Donald Trump.
“Kadar tarif akan diumum esok dan kita doa Insya Allah ia akan membantu dan tidak membebankan ekonomi negara kita,” katanya Ketika memulakan pembentangan Rancangan Malaysia Ke13 (RMK-13) di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, beliau dan Trump turut membincangkan soal tarif atas semangat dan prinsip perdagangan bebas serta pelbagai siri rundingan yang digerakkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama pihak Wakil Perdagangan dan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun Anwar berkata Malaysia perlu sentiasa berwaspada demi berdepan kemungkinan berlakunya kenaikan harga barang dan kos akibat penentuan tarif oleh AS kelak.
“Yang penting adalah kewaspadaan kita kerana kemungkinan harga barang dan kos mungkin meningkat sekiranya tarif itu tidak seperti yang kita jangka yang penting seperti mana yang saya sebut ketahanan yang harus kita bina,” jelasnya.
Perdana Menteri berkata, selain itu Trump turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia yang memainkan peranan menyelesaikan konflik Thailand dengan Kemboja.
“Walaupun dalam respons saya nyatakan ini kerana kesepakatan ASEAN dan ini kerana sikap positif kedua-dua negara dan kerana kerajasama yang ditunjukkan AS dan Presiden China,” tambahnya.
Anwar turut memaklumkan, Trump juga mengesahkan kehadirannya ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada Oktober nanti. – MalaysiaGazette
















