Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan menggunakan semula Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap peserta Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai lalu disifatkan sebagai bukti jelas ketakutan terhadap kebangkitan suara rakyat.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, penahanan empat individu baru-baru ini menunjukkan kerajaan Madani gagal menunaikan janji sendiri untuk memansuhkan undang-undang lapuk yang pernah dikritik keras ketika menjadi pembangkang.

“Cukup-cukuplah menggunakan undang-undang yang kerajaan hari ini sendiri pernah berjanji akan mansuhkan, batalkan. Tapi sekarang bukan sahaja tidak dimansuhkan, bayang usul pun tidak nampak,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau juga mendakwa terdapat laporan rumah individu yang disiasat dikepung sehingga 30 anggota polis, seolah-olah mereka penjenayah berbahaya.

“Yang ditahan itu hanya rakyat biasa yang menggunakan hak untuk berhimpun secara aman tanpa senjata. Kenapa perlu bertindak melampau seolah-olah berdepan pengganas?” soalnya.

Walaupun mengakui polis berhak menjalankan siasatan, Rafique menegaskan bahawa ia tidak seharusnya sampai ke tahap penahanan.

“Rakam percakapan, jalankan siasatan, itu hak polis. Tapi jangan tangkap. Biarlah Peguam Negara tentukan sama ada wujud elemen kesalahan atau tidak,katanya.

“Adakah meletakkan kangkung dalam mulut patung Najib itu salah? Membakar buku Tunku Abdul Rahman dulu tidak salah? Memijak poster Tun Mahathir pun tidak jadi isu besar waktu itu.

“Kalau semua itu dibenarkan dulu, kenapa sekarang rakyat ditekan hanya kerana menyatakan pendapat? Adakah kerajaan hari ini takut dengan kebangkitan rakyat melalui himpunan ini,” katanya lagi.

Rafique turut mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri yang sebelum ini mendakwa perhimpunan aman baru berlaku buat pertama kali di Malaysia ketika lawatan ke Indonesia.

“Perdana Menteri lupa, Himpunan ICERD tujuh tahun lalu berlangsung dengan aman.

“Tun Mahathir ketika itu menggalakkan rakyat turun berhimpun dengan syarat jaga kebersihan. Tiada sebarang tangkapan dibuat,” ujarnya.

Beliau turut menjangkakan Himpunan Turun Anwar 2.0 akan menjadi lebih besar berdasarkan peningkatan kesedaran rakyat terhadap hak berhimpun dan bersuara sekiranya dianjurkan.

“Semasa Perdana Menteri bentang RMK ke-13 semalam, lebih 23,000 komen ‘Turun Anwar’ ditinggalkan oleh netizen.

“Ini tanda jelas bahawa ketidakpuasan hati rakyat sedang membuak dan tidak boleh disekat dengan intimidasi,” tambahnya.

Beliau menyeru agar pihak berkuasa bersikap adil kepada semua pihak tanpa mengira kecenderungan politik, selagi himpunan berlangsung secara aman.

“Kita setuju pembangkang ada hak berhimpun, begitu juga penyokong kerajaan. Tapi jangan tekan rakyat hanya kerana mereka tak bersetuju dengan pemimpin negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast