Gambar hiasan.

 

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memperluas kawasan carian seorang lagi pelancong warganegara Turkiye yang terjatuh daripada kapal layar karam di perairan Pulau Yu, Terengganu.

Ketua Pengarah (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya turut menggerakkan dua aset laut dan satu aset udara bagi tujuan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) yang diperluas sehingga 305 batu nautika persegi hari ini.

“Selain itu, kita turut menerima sokongan daripada Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan menyertai misi pencarian petang ini,” katanya dalam sidang media selepas Program Santuni Madani APMM di Dataran Pantai Sungai Ular, di sini hari ini.

Ketua Pengarah (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah

 

Semalam, media tempatan melaporkan tiga individu termasuk dua pelancong warga Turkiye terjatuh ke laut di perairan Pulau Yu, Kuala Terengganu selepas kapal layar dinaiki mereka karam dipukul ribut.

Bagaimanapun, seorang daripada mangsa dikenali sebagai Ates Demiroren, 42 berjaya diselamatkan kru sebuah kapal tunda tempatan selepas hanyut di laut selama kira-kira 25 jam.

Maritim Malaysia kemudian mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi mengesan dua lagi mangsa termasuk kapten kapal layar itu pada jam 3 petang semalam.

Seorang lagi mangsa iaitu kapten kapal layar itu, Ahmet Volkan Ata, 52 pula berjaya ditemukan oleh nelayan tempatan selepas 43 jam terapung di laut.

Difahamkan, kapal layar yang dalam perjalanan dari Pulau Tioman menuju ke Pattani, Thailand itu dilaporkan karam pada pukul 2.30 pagi kelmarin selepas cuaca buruk dan laut bergelora kira-kira 30 batu nautika dai Pulau Redang, Terengganu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast