Boeing 777X

KUALA LUMPUR – Malaysia melakukan pembelian tambahan 30 buah pesawat Boeing berjumlah AS$9.5 bilion yang merupakan antara komitmen dalam memperkukuh hubungan perdagangan dua hala yang lebih seimbang.

Langkah itu susulan rundingan antara kedua-dua negara yang membawa kepada pengurangan tarif import AS ke atas produk Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus kuatkuasa 1 Ogos. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, pembelian pesawat berkenaan merupakan sebahagian daripada beberapa komitmen perdagangan Malaysia dalam rundingan tersebut.

Katanya, keputusan ini juga dibuat berdasarkan pertimbangan komersial dan keperluan jangka panjang industri penerbangan negara.

“Komitmen ini mencerminkan keyakinan kita terhadap potensi pertumbuhan sektor penerbangan, di samping memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul Abdul Aziz

Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia Aviation Group (MAG) telah menandatangani tempahan 30 buah pesawat Boeing 737, terdiri daripada 18 unit model 737-8 dan 12 unit 737-10s, yang dijangka diserahkan secara berperingkat menjelang 2030.

Pembelian pesawat Boeing bukan sahaja melibatkan Malaysia, tetapi juga negara-negara seperti Jepun, Indonesia, Kemboja dan Bangladesh sebagai sebahagian daripada pelan rundingan pelbagai hala.

Komitmen ini menyaksikan AS melonggarkan kadar tarif terhadap rakan dagang strategiknya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast