KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran agar tidak bermain sandiwara dalam isu kekayaan anak-anak Tun Dr Mahathir Mohamad, kata bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.
Menurutnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telahpun berpuas hati dengan perisytiharan yang dibuat oleh Tan Sri Mokhzani dan Mirzan sebelum ini.
“Jika SPRM hendak mara lagi, biarlah pendakwaraya ambil peranan ‘staturory’ masing-masing. Tidak perlu seorang perdana menteri yang berwibawa tumpang semangkuk dengan kenyataan yang cukup bersifat bertentangan.
“Seseorang itu tidak bersalah sehingga dihakimi mahkamah. Kenyataan PMX itu mendahului kuasa dan peranan SPRM dan mahkamah. Kenyataan itu memprejudis kes dalam siasatan dan berupa salahguna kuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Rais berkata, anak-anak Dr Mahathir juga sudah melalui proses yang sepatutnya ditetapkan oleh SPRM.
“Pihak berkuasa ialah SPRM bukan PMX dalam kes dan siasatan ini. Asingkan kuasa dan dasar asingkan fungsi ini wajib dipatuhi.
“Jika tidak negara dan rakyat akan porak-peranda. Konvensyen dan undang-undang akan jadi bahan lawak jenaka,” kata Rais.
Sebelum ini media melaporkan, Anwar dalam satu temu bual bersama wartawan Indonesia menuntut anak bekas Perdana Menteri itu menjelaskan sumber kekayaan masing-masing atau membayar semula wang kepada kerajaan.
Katanya, pendedahan kekayaan luar biasa oleh kedua-dua anak Dr Mahathir menimbulkan persoalan yang perlu dijawab, khususnya membabitkan jumlah yang besar.
“Saya tidak memilih untuk menuduh sesiapa secara sembarangan. Sebaliknya, saya serahkan kepada SPRM untuk menyiasat tetapi jika seseorang itu sendiri mengisytiharkan memiliki aset bernilai RM1.2 bilion, manakala seorang lagi RM4 bilion, maka wajarlah mereka bayar balik, melainkan mereka boleh menjelaskan sumber dana itu,” katanya seperti dilaporkan.
Aset Tan Sri Mokhzani Mahathir sebelum ini dianggarkan bernilai sekitar RM1 bilion, manakala Mirzan Mahathir memiliki RM246.2 juta seperti yang diisytiharkan kepada SPRM. – MalaysiaGazette
















