Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mempersoalkan keperluan kerajaan mengumumkan pembelian pesawat bernilai lebih RM160 bilion daripada dua syarikat penerbangan utama dunia dalam tempoh sebulan.

Beliau merujuk kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang memaklumkan pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia berjumlah sekitar RM80 bilion, semalam.

“Itu ‘pengeras’ utamanya,” kata Wan Ahmad Fayhsal di Facebook, hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul menjelaskan Malaysia akan membeli sejumlah 26 buah pesawat Boeing dalam dua fasa perjanjian yang dianggarkan bernilai hampir AS$19 bilion.

Pembelian itu adalah sebahagian daripada perjanjian komersil yang berterusan dengan Amerika Syarikat dan diketengahkan semasa rundingan perdagangan Malaysia, baru-baru ini.

Malaysia sebelum ini telah pun membeli 50 buah pesawat Airbus ketika lawatan ke Perancis, dan kini terpaksa berdepan desakan untuk membeli kapal terbang buatan Boeing.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang mengingatkan rakyat bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan pembelian pesawat Airbus bernilai RM85 bilion semasa lawatan ke Perancis pada bulan lalu.

Menurut beliau, jika pembelian itu dibuat oleh syarikat swasta, ia tidak menjadi masalah, namun menegaskan kerajaan tidak sepatutnya memindahkan beban kewangan itu kepada rakyat.

“Kalau syarikat swasta beli tak mengapa, jangan dicukainya rakyat kebanyakan, dipotong belanjawan lain pula selepas ini,” katanya lagi.

Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia Aviation Group (MAG) telah menandatangani tempahan 30 buah pesawat Boeing 737, terdiri daripada 18 unit model 737-8 dan 12 unit 737-10s, yang dijangka diserahkan secara berperingkat menjelang 2030.

Pembelian pesawat Boeing bukan sahaja melibatkan Malaysia, tetapi juga negara-negara seperti Jepun, Indonesia, Kemboja dan Bangladesh sebagai sebahagian daripada pelan rundingan pelbagai hala.

Komitmen ini menyaksikan AS melonggarkan kadar tarif terhadap rakan dagang strategiknya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast