SEOUL – Kapten Korea Selatan, Son Heung-min akan meninggalkan Tottenham Hotspur pada musim panas ini setelah 10 tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Son yang menyifatkan keputusan itu salah satu keputusan yang sukar diambilnya tidak menyatakan kelab mana dia akan bermain pada masa depan dan sama ada beliau akan bermain untuk Spurs selepas perlawanan pra musim menentang Newcastle Unites, esok.
Pemain itu mengumumkan keputusan tersebut pada sidang media sebelum perlawanan pra musim antara Spurs dengan Newcastle United.
Kontrak Son bersama Spurs memasuki tahun terakhir dengan spekulasi pemindahan yang berleluasa ketika Liga Perdana Inggeris akan membuka tirai dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Pemain itu dikaitkan dengan Los Angeles FC di Amerika Syarikat, selain kelab liga Arab Saudi dipercayai menunjukkan minat terhadapnya.
.”Saya tidak datang ke sini (sidang media) untuk menyatakan mengenai ke mana saya akan tuju. Kami mempunyai tugas untuk dilunaskan, dan kami perlu fokus perlawanan esok.
“Saya akan berkongsi maklumat terperinci mengenai masa depan apabila ia telah diputuskan,” katanya.
Beliau berkata, adalah penting untuk bersedia dalam menghadapi kejohanan Piala Dunia FIFA di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada tahun depan.
“Piala Dunia adalah penting. Ia mungkin penampilan terakhir saya pada Piala Dunia dan saya mahu persekitaran di mana saya mampu mencurahkan segalanya.
“Saya mahu mengakhiri (karier) di mana saya akan gembira bermain bola sepak,” kata pemain yang berusia 33 tahun itu.
Son menyertai Spurs pada Ogos 2015 daripada kelab Jerman, Bayer Leverkusen.
Beliau menjaringkan 173 dalam semua pertanding semasa bersama Spurs dan memenangi But Emas sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris bagi musim 2021/22.
Son kekal sebagai pemain Asia tunggal yang memenagi gelaran tersebut.
Pada musim lalu, beliau mengetuai Spurs dalam Liga Europa, dengan memenangi tropi utama pertamanya.
Pemain itu berkata, menjulang piala tersebut merupakan faktor keputusannya untuk menuinggalkan Spurs. – Agensi
















