KUALA LUMPUR – Kejayaan Malaysia mengurangkan kadar tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) daripada 25 peratus kepada 19 peratus merupakan bukti penting bahawa negara memerlukan kepimpinan yang bukan sahaja cekap mengurus hal ehwal dalam negeri, malah mampu menangani isu-isu antarabangsa secara berkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurangan tarif itu merupakan hasil rundingan diplomatik yang memberi manfaat besar kepada ekonomi negara, khususnya dalam sektor eksport berteknologi tinggi.
Menurut beliau, tarif asal sebanyak 25 peratus yang diumumkan AS sebelum ini akan memberi impak besar kepada sektor eksport Malaysia, terutama dalam bidang semikonduktor serta produk elektrik dan elektronik (E&E), yang merangkumi hampir 60 peratus daripada jumlah eksport ke negara itu dengan nilai mencecah RM200 bilion setahun.
Bagaimanapun, sebahagian besar produk berkenaan telah dikecualikan daripada senarai tarif berkenaan.
“Ada yang tanya, apa kaitan dengan AS? Kaitan ini besar kita nak selamatkan puluhan ribu pekerjaan rakyat Malaysia, nak pastikan pendapatan cukai kekal tinggi supaya hasilnya boleh dikembalikan semula kepada rakyat,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Menurutnya lagi, kemampuan kerajaan Madani menyelesaikan isu tarif ini membuktikan bahawa diplomasi ekonomi yang dijalankan berpaksikan kebijaksanaan dan kepentingan negara, bukan sekadar retorik politik.
“Nak bercakap boleh, nak kritik pun boleh. Tapi kita mesti ingat, kita ada tanggungjawab untuk mengangkat martabat negara ini sebagai sebuah negara hebat. Kita ada amanah, kita kena pikul bersama,” ujarnya.
Tarif timbal balas yang dikenakan AS ke atas beberapa negara, termasuk Malaysia, adalah sebahagian daripada dasar perdagangan unilateral yang mula diperkenalkan sejak era pentadbiran Donald Trump, dan sebahagiannya diteruskan di bawah Presiden Joe Biden.
Langkah ini bertujuan melindungi industri domestik AS dan mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan asing, terutamanya dalam sektor berteknologi tinggi.
Malaysia sebagai antara pengeksport utama semikonduktor dunia, turut terkesan apabila disenaraikan dalam pelaksanaan tarif tersebut.
Namun, hasil rundingan terkini antara Malaysia dan AS berjaya mengecualikan produk utama daripada dikenakan kadar penuh tarif, selain menurunkan kadar keseluruhan kepada 19 peratus yang mana satu kejayaan diplomatik yang disifatkan sebagai signifikan bagi kestabilan perdagangan Malaysia-AS. – MalaysiaGazette
















