KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bertekad memastikan nasib peneroka Felda terus terbela, bukan sekadar melalui dasar malah menerusi tindakan dan pelaksanaan yang nyata.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Felda bukan sekadar mengubah lanskap negara, ia turut diiktiraf sebagai model pembangunan luar bandar paling berjaya di dunia, khususnya dalam membasmi kemiskinan secara sistematik dan menyeluruh.
Menurut beliau, komitmen kerajaan tidak pernah goyah terhadap usaha menjadikan tanah-tanah rancangan Felda sebagai model komuniti luar bandar yang makmur, berdaya saing dan berjaya.
Kata Timbalan Perdana Menteri, buktinya dua hari lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) iaitu dokumen penting yang bakal memandu pembangunan negara untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Dengan peruntukan RM430 bilion, Kerajaan Perpaduan memperlihatkan komitmen besar terhadap pembangunan yang inklusif dan saksama sebagai teras pentadbiran.
“Ini termasuk usaha memperkukuh infrastruktur asas, merangsang aktiviti ekonomi desa dan menggalakkan pelaburan strategik khususnya di kawasan pembangunan tanah rancangan Felda,” ujarnya.
Ahmad Zahid menyatakan demikian dalam ucapannya pada Sesi Khas Bersama Warga Felda dan Majlis Apresiasi Peneroka di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Di hadapan hampir ribuan warga Felda, Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan peneroka dan penerokawati daripada generasi perintis hingga generasi pelapis.
Dalam ucapannya juga, Timbalan Perdana Menteri berkata, sejak 1956, Felda menjadi tunjang utama membasmi kemiskinan luar bandar melalui skim penempatan semula dan pemilikan tanah.
Katanya, lebih 112,638 peneroka telah mendapat manfaat secara langsung manakala lebih 317 tanah rancangan kini membentuk komuniti yang memberi impak kepada hampir tiga juta warga Felda.
Ujar beliau, dalam aspek kesihatan pula, Felda telah membina 13 buah pusat hemodialisis dengan 10 pusat telah siap beroperasi, masing-masing mampu merawat lebih 36 pesakit.
Ahmad Zahid turut menyarankan anak-anak Felda diperkasa dalam bidang pendidikan dan pendigitalan melalui program seperti Coding & Robotic, Literasi Digital Felda dan latihan kenegaraan.
Ujar beliau, keberkesanan Felda bukan hanya diukur melalui angka tetapi juga melalui kesan mendalam terhadap masyarakat menerusi pembinaan sekolah, klinik, kemudahan infrastruktur dan pelbagai program keusahawanan.

Menerusi ucapannya, Timbalan Perdana Menteri juga mahukan FGV Holdings Bhd. (FGV) tampil lebih proaktif dan agresif, bukan hanya kekal sebagai pengeluar minyak sawit mentah terbesar dunia, tetapi menguasai keseluruhan rantaian nilai sawit dari huluan ke hiliran dari ladang ke produk berjenama global.
Ujarnya, Felda melalui FGV juga perlu memaksimumkan nilai tambah industri sawit melalui biojisim, selaras dengan Pelan Tindakan Biojisim Negara 2023–2030 yang dijangka menjana RM17 bilion nilai ekonomi dan mencipta 33,000 peluang pekerjaan baharu.
“Dalam masa yang sama, saya mahu peranan penting FELDA Plantation Management Sdn. Bhd. (FPMSB) diperluas sebagai ejen pengurusan ladang milik penuh Felda yang telah banyak menyumbang kepada pengurusan ladang peneroka secara lestari dengan kos operasi yang minimum,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















