GEORGE TOWN – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini membenarkan perintah reman selama empat hari terhadap lima warga Iran termasuk sepasang suami isteri, bagi membantu siasatan kes pukau yang menyasarkan pelancong asing di kawasan tumpuan sekitar pusat bandar.
Perintah reman sehingga 6 Ogos itu dikeluarkan oleh Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi terhadap kesemua suspek bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
MalaysiaGazette difahamkan, kesemua suspek yang terdiri daripada dua wanita dan tiga lelaki berusia lingkungan 19 hingga 34 tahun itu ditahan sekitar Persiaran Gurney serta Pulau Tikus di sini, antara jam 8 hingga 9 malam.

Dalam serbuan tangkapan pihak polis turut merampas dua buah kenderaan serta pelbagai mata wang asing yang dipercayai hasil daripada kegiatan tersebut.
Setakat ini, kesemua suspek yang dikatakan penganggur itu dikesan terlibat tiga di kawasan Gurney dan George Town.
Difahamkan, kesemua suspek terbabit dikatakan memasuki negara ini sejak Januari lalu menggunakan pas lawatan sosial dan dipercayai menjalankan kegiatan pukau dengan menyasarkan pelancong asing sebagai mangsa.

Modus operandi mereka adalah dengan mendekati pelancong dan berpura-pura bertanya sama ada mangsa memiliki wang dalam mata wang asing.
Mangsa dikatakan hanya akan menyedari wang mereka hilang selepas suspek menghilangkan diri dari pandangan mata. – MalaysiaGazette
















