Syed Alif Rikiman Syed Alwi

LUMUT – Ketua Armada Bersatu Lumut, Syed Alif Rikiman Syed Alwi bertegas agar kerajaan tidak tunduk kepada sebarang bentuk tekanan perdagangan asing.

Ia susulan laporan berhubung cadangan penurunan tarif eksport oleh Amerika Syarikat yang dikaitkan dengan pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG).

Menurut beliau, sekiranya benar wujud syarat tersirat dalam urusan perolehan tersebut, ia merupakan bentuk rundingan yang tidak wajar dan boleh menjejaskan kedaulatan dasar perdagangan Malaysia.

“Malaysia tidak seharusnya tunduk kepada sebarang tekanan luar dalam membuat keputusan berkenaan perolehan aset negara.

“Keputusan seperti ini perlu berlandaskan keperluan strategik, tender terbuka, nilai terbaik kepada negara, dan manfaat jangka panjang kepada rakyat, bukan syarat yang dikenakan oleh negara luar,” tegas beliau dalam satu kenyataan.

Syed Alif yang juga mewakili suara anak muda dalam parti tersebut turut menggariskan tiga tuntutan utama kepada kerajaan dalam menangani isu berkenaan.

Antaranya menyatakan pendirian jelas bahawa semua urusan perolehan mesti bebas daripada tekanan politik luar.

Kedua, mengutamakan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kepentingan nasional dalam semua rundingan perdagangan.

Seterusnya bagi memastikan pulangan industri yang jelas, seperti pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti tempatan, dalam sebarang perolehan antarabangsa.

Beliau turut memberi amaran sebarang keakuran terhadap tekanan sebegini boleh mencetuskan preseden berbahaya yang membuka ruang kepada campur tangan asing dalam keputusan strategik negara.

“Ini bukan soal dagang semata-mata,ini soal maruah dan kedaulatan. Duit rakyat bukan alat tawar-menawar geopolitik. Kedaulatan ekonomi negara mesti dipertahankan,” katanya.

Kenyataan itu hadir di tengah-tengah kebimbangan awam terhadap kemungkinan Malaysia dipaksa untuk membuat keputusan perolehan bersandarkan kepentingan kuasa besar, dan bukannya berdasarkan keperluan sebenar serta kepentingan jangka panjang negara.

Bagaimanapun semalam, Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sudah menjelaskan pembelian pesawat berkenaan bukan daripada duit cukai rakyat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast