KUALA LUMPUR – Ibu kepada Zara Qairina Mahathir hari ini membuat laporan polis berkenaan kewujudan kesan lebam pada sebahagian besar badan anaknya itu ketika jenazah Allahyarham dimandikan di Hospital Queen Elizabeth 1 di Kota Kinabalu, Sabah, pada 17 Julai lalu.
Peguam, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan, Noraidah Lamat membuat laporan itu di Balai Polis Sipitang.
Menurutnya, Noraidah melihat sendiri kesan-kesan lebam tersebut ketika memandikan jenazah Zara Qairina bersama beberapa wanita lain.
Tambahnya, Noraidah tidak memasukkan fakta penting itu di dalam laporan-laporan polisnya sebelum ini kerana terlupa sepenuhnya mengenainya.
“Beliau hanya teringat semula tentang kesan-kesan lebam ini apabila kami menyoal beliau kelmarin berkenaan keadaan tubuh anaknya semasa dimandikan olehnya.
“Beliau terlupa berkenaan fakta ini kerana sejak dari 16.7.2025, beliau terlalu terlalu sedih dengan perkara yang menimpa anaknya,” katanya.
Kenyataan itu menambah, Noraidah percaya kesan-kesan lebam yang dilihatnya itu adalah kesan-kesan kecederaan yang diakibatkan oleh pukulan-pukulan menggunakan objek tumpul ke bahagian belakang Zara Qairina sebelum Allahyarham ditemukan di bahagian bawah bangunan asrama sekolahnya pada Subuh, 16 Julai lalu.
Dalam pada itu, peguam berkenaan berkata, mereka mengambil maklum kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam bahawa polis telah selesai menjalankan siasatan kes tersebut dan kertas siasatan akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara minggu hadapan untuk tindakan lanjut.
Namun, ujarnya, perkembangan terbaharu melibatkan laporan polis yang dibuat ibu mangsa menjustifikasikan pembukaan semula siasatan kes itu.
“Kubur Zara perlu digali semula dengan kadar segera dan satu bedah siasat dibuat terhadap tubuhnya untuk menentukan punca sebenar kematian dan sama ada wujud elemen-elemen jenayah yang menyebabkan kematian itu,” katanya. – MalaysiaGazette
















