Ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf hadir bela diri pertuduhan pengabaian kanak-kanak autistik itu ditemani bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari di Mahkamah Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL, 22 JULAI 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan akan memanggil seorang doktor pakar psikologi kanak-kanak memberi keterangan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya esok pada prosiding bela diri kes pengabaian anak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin.

Lavanesh Haresh Mahadevan iaitu salah seorang peguam yang mewakili tertuduh, Ismanira Abdul Manaf memberitahu Malaysia Gazette, pakar berkenaan akan dipanggil sebagai saksi pembelaan kelima pada perbicaraan itu.

Peguam Lavanesh Haresh Mahadevan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh dijadual berlangsung selama lima hari berturut-turut hingga 8 Ogos ini.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu, pasukan peguam akan memanggil Zaim Ikhwan Zahari yang juga bapa Zayn Rayyan, memberi keterangan sebagai saksi pembelaan kes isterinya. Dia telah dibebaskan daripada tuduhan mengabaikan kanak-kanak tersebut.

Syahliza selesai mendengar keterangan ibu kanak-kanak itu (tertuduh) pada 24 Julai lalu selepas memberi keterangan selama tiga hari.

Selain Ismanira, tiga saksi pembelaan turut dipanggil sebagai saksi iaitu bapa mentuanya, Zahari Mohd. Reba, seorang penyambut tetamu firma guaman, Umi Syafiqah Rohizal dan ibu saudara tertuduh.

Bapa kepada kanak-kanak autistik Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari tiba berkerusi roda dibantu bapanya Zahari Mohd. Reba di pekarangan Mahkamah bagi perbicaraan pertuduhan pengabaian anaknya itu di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 09 APRIL 2025. (GAMBAR FAIL)

Ketika memberi keterangan bersumpah pada hari pertama kes bela diri 21 Julai lalu, Ismanira mengaku melalui saat yang menyakitkan ekoran kehilangan anaknya.

Tertuduh turut menepis dakwaan dia berwajah `kosong’ seperti yang dinyatakan seorang pegawai penyiasat, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin ketika siasatan dijalankan.

Mahkamah turut dikejutkan dengan pendedahan mesej berbunyi `lantaklah nak hidup ke nak mati’ yang dihantar Ismanira kepada suaminya, Zaim Ikhwan pada hari kehilangan anak mereka.

Ismanira menjelaskan, mesej itu bukan ditujukan kepada Zayn Rayyan, sebaliknya merujuk kepada dirinya.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berdekatan, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan pukul 9.55 malam pada keesokkan harinya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast