KUALA LUMPUR – Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan menyuarakan kebimbangan terhadap isu penyelenggaraan perumahan bertingkat susulan kerosakan lif selama lebih tiga bulan di Blok P20, Taman Bukit Angkasa yang menjejaskan kehidupan penduduk, termasuk warga emas dan pesakit kronik.
Timbalan Pengerusinya, Hong See berkata, keadaan tersebut mencerminkan kegagalan sistemik dalam pengurusan hartanah berstrata di negara ini dan menuntut tindakan segera daripada pihak kerajaan.
Menurutnya, meskipun Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil sudah menyatakan komitmen peruntukan segera RM130,000 bagi kerja-kerja pembaikan, langkah itu hanya bersifat sementara dan tidak menyelesaikan masalah struktur yang lebih besar.
“Isu ini bukan terhad kepada satu lokasi. Banyak kediaman bertingkat lain di seluruh negara menghadapi masalah serupa.
Ketiadaan kerangka perundangan khusus menyebabkan penyelenggaraan kemudahan bersama tidak dilakukan secara konsisten,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan keperitan penduduk blok P20 yang berdepan isu lebih tiga bulan lif utama di blok tersebut tidak berfungsi dan kebanyakan lif lain juga rosak atau hanya separuh beroperasi.
Rata-rata penduduk yang tinggal di tingkat 7, 8 dan 9 itu kini berdepan realiti getir terperangkap di rumah sendiri malah terpaksa mengupah orang asing antara RM15 hingga RM30 untuk meneruskan kehidupan harian.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan merangka satu Akta Penyelenggaraan Perumahan dan Kemudahan Bersama bagi menetapkan piawaian penyelenggaraan mandatori serta memastikan pemilik hartanah memenuhi tanggungjawab mereka terhadap fasiliti awam seperti lif dan sistem keselamatan.
Menurut pertubuhan itu, isu penyewa yang terkesan turut memerlukan perhatian serius.
Banyak penyewa membayar sewa tepat waktu, tetapi tetap berdepan kesukaran kerana pemilik gagal membayar yuran penyelenggaraan kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC), sekali gus menjejaskan dana bagi kerja baik pulih.
Kes serupa turut dilaporkan di Danau Murni Condominium, Taman Danau Desa pada 27 Jun lalu apabila ketiga-tiga lif di Blok A tidak berfungsi selama dua hari menyebabkan lebih 200 penghuni terpaksa menggunakan tangga sehingga ke tingkat 18.
Walaupun kediaman itu dikategorikan sebagai kondominium, kemudahan asas seperti lif tidak dapat dinikmati sepenuhnya.
“Lebih memburukkan keadaan, ramai penyewa tidak dapat berpindah ke tempat yang lebih selesa kerana masih terikat dengan perjanjian sewaan. Jika keluar awal, mereka berisiko kehilangan wang deposit kerana pemilik enggan memulangkan semula,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa agar Akta Sewa Rumah digubal segera untuk melindungi hak penyewa dalam situasi sedemikian.
Dalam jangka masa panjang, pertubuhan itu turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu sistem pemantauan berpusat untuk menyenaraihitamkan pemilik yang gagal menjelaskan bayaran penyelenggaraan secara berterusan melalui CCRIS atau CTOS.
Ini katanya bertujuan meningkatkan akauntabiliti dan mendorong pematuhan.
Pada masa sama, JMB disaran mempertingkat ketelusan dan tadbir urus melalui audit kewangan yang lebih ketat serta pelaporan berkala kepada pihak berkuasa, khususnya Pejabat Pesuruhjaya Bangunan (COB).
Pertubuhan itu turut menyeru agar satu pasukan petugas khas ditubuhkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk merangka rang undang-undang berkaitan penyelenggaraan perumahan berstrata, dengan libat urus menyeluruh melibatkan pemaju, pemilik, penyewa dan pengurus hartanah.
“Perundangan baharu diperlukan bagi memastikan penyelenggaraan bukan lagi satu pilihan tetapi satu kewajipan yang boleh dikuatkuasakan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
Lif rosak: Penduduk Blok P20 terpaksa upah warga asing angkut barang
















