BALIK PULAU – Seorang lelaki ditahan selepas ceroboh masuk rumah pempengaruh TikTok yang lebih dikenali sebagai Choii di Batu Maung di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, hasil siasatan mendapati suspek memasuki rumah berkenaan melalui pintu belakang ketika pembantu rumah keluar untuk membuang sampah.
“Sebaik sahaja menyedari kehadiran penghuni rumah, suspek melarikan diri, namun dia berpatah balik ke lokasi sama untuk mengambil barang yang tertinggal.
“Bagaimanapun, dia berjaya ditahan oleh pengadu dengan bantuan rakan-rakannya sebelum diserahkan kepada anggota polis MPV yang bertugas di Zon 3 Batu Maung,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Sazalee, hasil semakan lanjut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzodiazepine selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau esok bagi mendapatkan permohonan reman.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya.
Sehubungan itu, Sazalee turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan memastikan pintu serta tingkap rumah dikunci rapi, selain memastikan sistem keselamatan berfungsi bagi mengelakkan kejadian seumpama ini.
Semalam, tular satu rakaman video yang dimuat naik di akaun Facebook Amigos Media Viral di Facebook memaparkan kejadian tersebut. – MalaysiaGazette
















