KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia memainkan peranan utama dalam memperkukuh kerjasama undang-undang serantau melalui penganjuran ASEAN Law Forum 2025 yang akan berlangsung pada 19 hingga 21 Ogos ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, forum yang diketuai oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang itu akan menghimpunkan menteri-menteri undang-undang dan kehakiman dari negara-negara ASEAN bagi mencapai satu kenyataan bersama (Joint Statement) dalam bidang kerjasama perundangan.
“Joint Statement ini sangat penting kerana ia menggambarkan komitmen negara-negara ASEAN, termasuk kementerian undang-undang, kehakiman dan agensi berkaitan untuk bekerjasama dengan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN.
“Terutamanya dalam beberapa bab undang-undang yang boleh digunapakai secara bersama,” katanya dalam sidang media selepas majlis pra peluncuran forum tersebut, di sini.
Menurut Azalina, forum itu akan membincangkan pelbagai isu berkaitan cabaran perundangan serantau seperti Timbang Tara Antarabangsa, Mediasi, Keselamatan Siber, Kecerdasan Buatan (AI) dalam amalan perundangan, reformasi undang-undang jenayah dan komersial, insolvensi rentas sempadan serta hak asasi manusia dalam perniagaan.
“Tajuk-tajuk ini dipilih kerana ia mencerminkan cabaran bersama yang dihadapi oleh negara-negara ASEAN, termasuk Malaysia, seperti dalam isu AI dan penyelesaian pertikaian perniagaan tanpa melalui proses mahkamah,” ujarnya.
Beliau turut melancarkan laman web rasmi ASEAN Law Forum bagi menggalakkan penyertaan lebih luas daripada pemain industri perundangan, termasuk peguam, pelajar, institusi pengajian tinggi serta syarikat swasta.
“Kita mahu forum ini menjadi medan perkongsian ilmu dan pengalaman antara pakar serantau, supaya setiap negara dapat menyesuaikan dasar dan undang-undang masing-masing mengikut keperluan bersama,” tambahnya.
Forum berprestij ini dijadual dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri pada 20 Ogos 2025, disusuli majlis makan malam gala di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, forum itu turut menjadi platform untuk memperlihatkan kemajuan Malaysia dalam reformasi undang-undang termasuk pelaksanaan dasar-dasar baharu selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
“Selepas pembentangan RMK13, kita harap akan ada lebih banyak undang-undang baharu yang akan digubal demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















