KEPALA BATAS – Polis Pulau Pinang melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM2 juta yang dirampas sepanjang 14 tahun lalu, dalam satu operasi pelupusan khas yang dijalankan di Stor Barang Kes Berpusat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.
Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pelupusan itu membabitkan sejumlah 120,901.4 gram dadah termasuk heroin, ganja, ketamin, syabu serta pil psikotropik yang disita menerusi 5,265 kertas siasatan sejak tahun 2010 hingga 2024.
“Sekiranya kesemua dadah ini berjaya diseludup ke pasaran, ia berpotensi untuk menampung keperluan sehingga 1.38 juta penagih.
“Antara dadah yang dilupuskan termasuk heroin dan monoacetylmorphine (19,750 gram), kanabis (53,575.9 gram), ketamin (2,873.9 gram), methamphetamine (42,614.6 gram) serta 2,087.1 gram pelbagai jenis pil psikotropik,” katanya kepada pemberita, di sini.
Menurut Mohd Alwi, proses pelupusan dijalankan mengikut prosedur ketat dengan kerjasama syarikat pengurusan sisa, Kualiti Alam Sdn. Bhd. menggunakan teknologi khas yang diperakui Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Semua barang kes ini diperiksa dan disahkan terlebih dahulu sebelum dihantar ke lokasi pelupusan di Port Dickson, Negeri Sembilan dengan kawalan ketat oleh pasukan polis,” jelasnya.
Mengulas perkembangan usaha membanteras jenayah narkotik di negeri ini, Mohd Alwi berkata, seramai 14,146 individu ditahan bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 4,498 kes membabitkan pengedaran dan pemilikan dadah. Sebanyak 92.71 peratus daripada kes itu, iaitu 4,170 kes telah berjaya dituduh di mahkamah.
“Dalam tempoh sama, 7,938 siasatan dibuka mengikut Seksyen 15(1)(a) manakala 251 individu pula dikenakan tindakan mengikut Seksyen 39C(1) akta sama.
“Sehubungan itu, kita mohon kerjasama orang awam untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri ini. – MalaysiaGazette















