KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menggariskan enam `perangai’ yang perlu dibuang dalam memastikan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) berjalan dengan baik.
Pertama kata beliau, adalah tindakan menukar atau membatalkan rancangan yang telah dipersetujui sebelum ini sebaik sahaja kerajaan atau menteri berganti.
Situasi itu, ujarnya, akan menyebabkan kerajaan perlu mengeluarkan perbelanjaan lain untuk memulakan rancangan baharu.
“Kalau rancangan itu baik dan sasarannya baik, ia perlu dikekalkan dan dibuat dengan lebih baik lagi oleh kerajaan yang baharu,” katanya dalam perbahasan usul RMK-13 di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, kata Rafizi (PH-Pandan), sikap pemimpin yang enggan menyokong RMK-13 kerana bukan datang daripada ideanya juga perlu dibuang bagi memastikan dasar itu berjalan seperti dirancang.
Apa yang sering berlaku sebelum ini, jelas beliau, terdapat pemimpin yang enggan menyokong dasar RMK meskipun ia adalah idea yang baik, semata-mata kerana cadangan itu bukan lahir daripada buah fikiran mereka.
“Kalau pun idea dan dasar itu tak dibuang terus daripada rancangan pembangunan, tetapi apa yang dilakukan adalah dasar itu di `cold storage’ (sejuk beku).
“Pemimpin ini akan cari idea lain, sedangkan kerajaan sudah berbelanja banyak wang, dan dasar itu pun sudah menunjukkan kemajuan, jadi perangai seperti ini perlu dibuang,” katanya.
Seterusnya, tambah Rafizi, RMK-13 akan berjalan lancar sekiranya tidak dijejaskan dengan sikap di depan sokong, tetapi di belakang `sailang’ (bantah).
Jelasnya, disebabkan sikap seperti itu, dasar dan rancangan pembangunan tidak dapat dilaksanakan disebabkan sama ada dibantah atau diberi pelbagai alasan lain oleh pemimpin yang pada awalnya bersetuju dengan rancangan tersebut.
Tambah beliau, RMK-13 juga tidak akan berjaya sekiranya sikap 20 peratus yang bekerja dan 80 peratus yang sekadar melihat terus wujud dalam kerajaan.
“Banyak organisasi sebenarnya yang betul-betul bertungkus-lumus buat kerja hanya 20 peratus sahaja.
“Lagi 80 peratus itu dia tunggu dan lihat. Bila dasar itu berjaya, dia tunggang. Kalau tak berjaya, yang 80 peratus ini akan menuding jari.
“Kalau ini berlaku dalam RMK-13, datanglah kerajaan yang hebat macam sekali pun, semua rancangannya akan tergendala,” katanya.
Seterusnya, Rafizi turut mengingatkan RMK-13 tidak akan berjaya sekiranya wujud sikap yang mana rancangan yang diluluskan menerusi dokumen itu digantikan dengan projek lain yang tiada kena-mengena.
Yang terakhir, ujar beliau, adalah sikap yang disifatkan paling biasa dalam sistem kerajaan hari ini iaitu menolak dasar atau rancangan baharu dengan alasan ia sudah pun dibuat atau sudah dirancang sebelum ini.
“Perangai bisnes as usual ini kalau tidak dibuang di dalam sistem kerajaan, sistem sektor awam dan sektor swasta, maka semua anjakan-anjakan di dalam RMK akan hanya kekal di dalam dokumen lima tahun sahaja,” katanya.
Sehubungan itu, tambah Rafizi, beliau berharap semua Ahli Parlimen memikul tanggungjawab dalam memantau dan memastikan anjakan dasar, projek rintis dan inisiatif yang digagaskan di dalam RMK-13 berjalan sewajarnya dengan kos yang sebaiknya.
“Insya-Allah, jika yang ada di dalam Dewan Rakyat ini berjaya menjalankan tanggungjawab itu, sekurang-kurangnya sebahagian besar daripada aspirasi RMK-13 akan dapat dicapai,” katanya.
Sebahagian besar dokumen RMK-13 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu, dibangunkan Kementerian Ekonomi ketika Rafizi merupakan menterinya. – MalaysiaGazette
















